Thursday, 21 August 2014,   24 Shawwal 1435H

BSN AGRESIF PROMOSI PERKHIDMATAN PERBANKAN TANPA CAWANGAN

Satu lagi inisiatif BSN untuk memperluaskan akses kewangan kepada 
segenap lapisan masyarakat di Malaysia

 


Kakitangan BSN meberikan penerangan mengenai Perbankan Tanpa Cawangan


Kuala Lumpur, 20 Februari 2012 
– Bank Simpanan Nasional (BSN) telah mengadakan aktiviti gerak gempur secara serentak di seluruh negara pada 18 dan 19 Februari 2012 bagi mempromosi perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan (PTC) yang baru sahaja beroperasi pada penghujung bulan Januari 2012. Aktiviti yang dianjurkan ini bertujuan untuk memberikan penerangan lebih lanjut kepada orang ramai mengenai perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan dan seterusnya memperkenalkan ejen-ejen yang telah dilantik oleh BSN untuk melaksanakan perkhidmatan ini. 

Ketika aktiviti ini dijalankan, para petugas yang terdiri daripada kakitangan BSN telah membuat kunjungan dari rumah ke rumah bagi menghebahkan mengenai kewujudan ejen-ejen yang telah beroperasi dan memberikan penerangan terperinci mengenai kelebihan perkhidmatan PTC kepada orang ramai. Pada waktu yang sama, BSN juga turut membantu mereka untuk membuka akaun simpanan BSN bagi memudahkan mereka melakukan transaksi perbankan di premis ejen yang telah dilantik oleh BSN. Antara transaksi-transaksi yang boleh dilakukan adalah deposit dan pengeluaran wang tunai, pembayaran bil utiliti, simpanan Sijil Simpanan Premium (SSP), dan pembelian tanpa tunai. 

Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan ini berpeluang mendapat pelbagai manfaat seperti penjimatan masa, waktu operasi yang lebih fleksibel iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam dan tiada sebarang caj dikenakan ke atas pelanggan yang melakukan transaksi perbankan. Perkhidmatan PTC ini adalah merupakan satu inisiatif berterusan BSN untuk memberikan akses perbankan yang berkualiti kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya yang berada di kawasan yang mempunyai akses perbankan yang terhad. Ini juga merupakan mandat utama BSN untuk terus menyediakan akses perbankan kepada setiap lapisan masyarakat terutama yang berada di luar bandar dan kawasan pedalaman dalam inisiatif rangkuman kewangannya (financial inclusion initiative).

- END -


Media Release