Thursday, 23 October 2014,   28 Dhuʻl-Hijjah 1435H

BSN MEMBUAT PEMBAYARAN HIBAH KEPADA PEMEGANG AKAUN SIMPANAN BSN GIRO-i
 


Satu lagi inisiatif BSN dalam memperkasakan lagi mutu perkhidmatan Perbankan Islam


Kuala Lumpur, 17 Februari 2012
-Bank Simpanan Nasional (BSN) terus mempelbagaikan usaha dalam memperkasakan lagi mutu perbankan selaras dengan peranan penubuhannya untuk menggalakkan tabiat menabung di kalangan masyarakat dengan membuat pembayaran Hibah kepada para pemegang akaun simpanan BSN GIRO-i. Untuk tahun 2012 BSN mengunjurkan pertumbuhan deposit runcit melalui produk-produk yang berasaskan Syariah iaitu akaun simpanan GIRO-i dan juga Sijil Simpanan Premium (SSP). 

Sebagai menghargai para pelanggannya, BSN akan membuat pembayaran tambahan 2% ke atas keuntungan yang sedia ada kepada semua pemegang akaun simpanan BSN GIRO-i berdasarkan baki purata sepanjang tahun 2011 yang dibayar mulai 16 Februari 2012. Akaun simpanan yang berasaskan konsep Mudharabah atau perkongsian untung ini bukan sahaja memberikan kemudahan dari segi pengurusan kewangan individu, malah kini menjadi lebih mudah untuk melanggannya melalui saluran terbaru BSN iaitu agen-agen “ Perbankan Tanpa Cawangan” yang terdapat di seluruh negara. 

Menurut Ahmad Noh Jeni, Ketua Perbankan Islam BSN “ Ini adalah ciri utama konsep Mudharabah yang tidak menghadkan pulangan kepada para pelanggan kami, dengan adanya lebihan keuntungan yang diperolehi oleh Bank lalu ianya terus dikongsi bersama “. Dalam usaha untuk memperluaskan lagi perkhidmatan perbankan Islam, BSN telah membuka sebanyak 71 buah cawangan perbankan Islam di seluruh negara di mana semua cawangan BSN di seluruh Kelantan adalah merupakan cawangan perbankan Islam sepenuhnya. 

Sambutan terhadap perkhidmatan perbankan Islam BSN sebenarnya tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja. Sebagai contoh, 90% pelanggan Akaun Pelaburan BSN AHSAN Warga Emas adalah terdiri dari kaum Cina. Akaun yang dikhaskan untuk warga emas yang berumur 50 tahun menawarkan pulangan yang lebih tinggi dari akaun pelaburan biasa. Di samping itu para penyimpannya juga boleh mengeluarkan keuntungan pelaburan secara bulanan yang merupakan ciri-ciri yang sesuai untuk para pesara. 

Selain pengumuman pembayaran Hibah tersebut, BSN turut mewar-warkan pemberian hadiah-hadiah menarik dan eksklusif yang layak dimenangi oleh penyimpan-penyimpan SSP sepanjang tahun 2012. Sebanyak lebih 37,000 hadiah bernilai lebih RM14 juta disediakan pada tahun 2012 berbanding lebih 30,000 hadiah yang ditawarkan pada tahun 2011. BSN masih lagi mengekalkan kereta-kereta mewah seperti Mercedes Benz E200 CGI, Mercedes Benz C200EL, BMW 520i F10 dan BMW 320i. BSN juga ingin mengumumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam muzakarahnya pada 14 Februari 2012 telah pun memperakukan skim SSP adalah mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya. 

Hadiah-hadiah lain termasuk jongkong emas, motorsikal Modenas GT128, pelbagai jenis gajet elektronik, Sijil Simpanan Premium (SSP) dan pelbagai lagi hadiah yang menarik telah ditawarkan. SSP Edisi khas yang dilancarkan pada bulan Oktober 2011 juga kini telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2012. Ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai lagi masyarakat untuk menyertai skim simpanan yang tidak hanya menawarkan pelbagai hadiah tetapi juga menawarkan dividen yang baik. 

Di samping itu juga satu kategori cabutan khas turut diperkenalkan iaitu Cabutan SSP Ekstra yang menawarkan lebih 500 hadiah yang menarik seperti Tablet Samsung, Kamera DSLR, TV LED dan baucar membeli-belah. Cabutan SSP Ekstra ini akan dilakukan sebanyak empat kali iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember tahun 2012. 

BSN juga akan mengekalkan cabutan khas iaitu Cabutan SSP ‘High Savers’ yang diadakan pada tahun 2011 sebagai menghargai pelanggan-pelanggan BSN yang setia dan terus menyimpan dengan SSP. Hadiah-hadiah lumayan dan eksklusif seperti kereta mewah Audi A5 2.0 dan SSP bernilai di antara RM5,000 hingga RM50,000 bakal menanti untuk dimenangi oleh penyimpan-penyimpan yang memenuhi kriteria yang dinyatakan.

- END -


Media Release