Friday, 31 October 2014,   07 Muharram 1436H

SIMPAN DAN MENANG DENGAN SSP


BSN umum senarai hadiah baru untuk tahun 2012


Queensbay Mall, Pulau Pinang – 28 Januari 2012
- BSN telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan Januari 2012. Majlis yang dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN. Cabutan bulanan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BSN di dalam memainkan peranannya untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat Malaysia. 

Majlis Cabutan ini merupakan aktiviti bulanan BSN yang diadakan untuk semua masyarakat di Malaysia di mana orang ramai berpeluang untuk menyaksikan bagaimana keputusan untuk pemilihan pemenang bagi Cabutan Bulanan SSP dijalankan. Pada majlis cabutan pada bulan ini turut diserikan dengan penampilan khas barisan pelakon ’Ah Beng The Movie’ yang diketuai oleh ’deejay’ terkenal iaitu Jack Lim. 

Pada Majlis ini, BSN turut mengumumkan hadiah-hadiah menarik dan eksklusif yang layak dimenangi oleh penyimpan-penyimpan SSP sepanjang tahun 2012. Sebanyak lebih 37,000 hadiah disediakan untuk sepanjang pada tahun 2012 berbanding lebih 30,000 hadiah yang ditawarkan pada tahun 2011. BSN masih lagi mengekalkan kereta-kereta mewah seperti Mercedes Benz E200 CGI, Mercedes Benz C200EL, BMW 520i F10 dan BMW 320i. Hadiah-hadiah lain termasuk jongkong emas, motorsikal Modenas GT128, pelbagai jenis gajet elektronik, Sijil Simpanan Premium (SSP) dan pelbagai lagi hadiah yang menarik telah ditawarkan. 

Menurut Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN, “Semua hadiah-hadiah eksklusif dan menarik yang ditawarkan sepanjang tahun 2012 layak dimenangi oleh pemegang-pemegang SSP. BSN percaya bahawa insentif-insentif seperti peningkatan hadiah dan pemberian dividen kepada pemegang SSP yang layak akan menjadi dorongan kepada orang ramai untuk mula menyimpan dan terus menambah simpanan mereka di dalam SSP. BSN telah membuktikan bahawa tiada amaun atau jumlah tertentu yang diperlukan untuk seseorang memenangi hadiah yang ditawarkan. Di samping itu, SSP juga turut menawarkan sandaran sijil SSP sehingga 95% daripada nilai simpanan.” 

Dalam majlis yang sama, BSN juga turut mengumumkan untuk mengekalkan cabutan khas iaitu Cabutan SSP ‘High Savers’ yang diadakan pada tahun 2011 sebagai menghargai pelanggan-pelanggan BSN yang setia dan terus menyimpan dengan SSP. Hadiah-hadiah lumayan dan eksklusif seperti kereta mewah Audi A5 2.0 dan SSP bernilai di antara RM5,000 – RM50,000 bakal menanti untuk dimenangi oleh penyimpan-penyimpan yang memenuhi kriteria yang dinyatakan. Di samping itu juga satu kategori cabutan khas turut diperkenalkan iaitu Cabutan SSP Ekstra yang menawarkan lebih 500 hadiah yang menarik seperti Tablet Samsung, Kamera DSLR, TV LED dan baucar membeli-belah. Cabutan SSP Ekstra ini akan dilakukan sebanyak empat kali iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember tahun 2012. 

Pada majlis yang sama turut di adakan majlis penyerahan hadiah kepada para pemenang cabutan SSP bagi bulan Disember 2011, Khoo Cheng Hiong dari Taiping, Perak telah memenangi sebuah kereta Mercedes Benz C200 EL selaku pemenang utama manakala Wong Poi Kung dari Sungai Besar, Selangor telah memenangi sebuah kereta Toyota Camry 2.0 E. S.Valliamah dari Pulau Pinang pula telah memenangi pakej pelancongan bernilai RM11,000.00. Bagi kategori cabutan SSP High Savers, Lim Kim Li dari Kuala Krai, Kelantan telah memenangi sebuah superbike 600 cc. 

Sementara itu, pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN, melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih malah melalui perkhidmatan perbankan pesanan ringkas (BSN:SMS) yang ditawarkan oleh BSN. 

Orang ramai kini berpeluang untuk menyemak keputusan SSP di dalam laman web BSN. Informasi ini akan dimasukkan ke dalam laman web BSN yang boleh dilayari di http://www.mybsn.com.my setelah proses memilih pemenang dibuat di hadapan wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Audit Negara. Orang ramai juga boleh menyemak akhbar-akhbar harian utama dan juga melalui SMS untuk mendapatkan keputusan SSP.

- END -


Media Release