Friday, 25 July 2014,   27 Ramadan 1435H

 

BSN BANK PERTAMA LANCAR PERBANKAN TANPA CAWANGAN DI MALAYSIA


Terus perkasa inisiatif rangkuman kewangan


Putrajaya, 14 Jun 2012 
– Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah melancarkan perkhidmatan terbarunya iaitu Perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan (PTC). Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan turut dihadiri oleh Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN. Sebagai memenuhi mandat sosial BSN untuk terus komited menyediakan akses perbankan yang berkualiti kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara,  PTC merupakan saluran baru untuk pelanggan memperolehi akses perkhidmatan kewangan. Pelanggan dan orang ramai berpeluang untuk melakukan transaksi perbankan yang terplih dengan mana-mana ejen yang berdaftar dan diberi kuasa oleh BSN untuk menawarkan kemudahan kepada pelanggan terutama di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan bank.

Menurut Dato’ Seri Ahmad Husni “Perkhidmatan perbankan tanpa cawangan ataupun lebih dikenali sebagai perbankan ejen merupakan sebahagian dari inisiatif untuk menggalakkan rangkuman kewangan seperti yang disarankan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 Bank Negara Malaysia. Ia merupakan saluran yang inovatif untuk meningkatkan akses yang mudah dan jangkauan kepada segenap lapisan rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah atau yang tinggal di kawasan luar bandar bagi menjalankan urus niaga kewangan. “

Datuk Adinan Maning berkata “ sejak bulan Januari 2012 sehingga 31 Mei 2012, seramai 1,500 ejen berdaftar telah dilantik oleh BSN untuk menguruskan perkhidmatan PTC ini. BSN akan sentiasa komited dalam menyokong agenda Kerajaan untuk meluaskan dan memastikan akses kewangan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Rangkuman kewangan yang luas amat penting untuk sistem kewangan yang mantap, progresif dan inklusif yang menyokong keseimbangan pertumbuhan ekonomi negara.”

Antara kriteria-kriteria yang mesti dipenuhi dan dipatuhi untuk menjadi ejen PTC ialah mempunyai premis perniagaan yang beroperasi di alamat yang tetap dan juga mempunyai lesen perniagaan yang sah. Selain daripada itu premis ejen-ejen yang dilantik mestilah berada di dalam  liputan GPRS atau rangkaian telekomunikasi yang bersesuaian. Setiap ejen yang dilantik juga diwajibkan untuk membuka akaun simpanan dengan BSN dan seterusnya akan dibekalkan dengan peralatan ‘Point of Sale’ (POS) yang dilengkapi dengan GPRS tanpa wayar untuk melakukan transaksi PTC.

Di antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh PTC adalah perkhidmatan deposit, pengeluaran wang, pembayaran bil utiliti, pembelian Sijil Simpanan  Premium (eSSP) dan pembayaran tanpa tunai. Terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperolehi daripada perkhidmatan PTC ini di antaranya ia dapat menjimatkan kos dan masa kerana ejen PTC beroperasi di kedai-kedai yang berdekatan dengan kediaman pelanggan seperti kedai runcit, kedai ejen telekomunikasi dan lain-lain.  Di samping itu juga waktu operasi yang fleksibel dan lebih panjang iaitu dari jam 8.00 pagi-10.00 malam. Para pelanggan PTC juga tidak dikenakan sebarang caj semasa melakukan perkhidmatan ini.

Sehingga 31 Mei 2012 sebanyak 532,381 transaksi bernilai RM45,405,058 telah berjaya direkodkan di mana ia merupakan satu jumlah yang amat memberangsangkan memandangkan perkhidmatan PTC ini baru sahaja diperkenalkan dalam bulan Januari 2012. BSN juga merancang untuk meningkatkan bilangan ejen PTC kepada seramai 5000 ejen dalam tempoh 3 tahun (menjelang tahun 2014). Antara perkhidmatan lain yang bakal diperkenalkan melalui perkhidmatan PTC ialah pemindahan wang/dana antara bank, penambahan nilai prabayar telefon bimbit, pembayaran bil bagi bukan pelanggan BSN, pengeluaran wang bagi pelanggan MEPS dan perkhidmatan pindahan wang.

- TAMAT -


Siaran Media