Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

PROGRAM RAUDAH RAMADAN BSN

BSN memberi sumbangan kepada pelajar asnaf


AYER HITAM, 17 Jun 2017 – BSN hari ini menganjurkan program “Raudah Ramadan BSN” di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, Kedah. Program ini diadakan bagi menyampaikan sumbangan sempena musim perayaan yang akan datang serta untuk menikmati iftar bersama para pelajar daripada golongan asnaf di sekitar Jerlun, Kedah. 

Hadir bagi menyampaikan sumbangan di program tersebut adalah YB Dato’ Wira Othman bin Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Jerlun serta Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pengerusi BSN dan Kameel Abdul Halim, Timbalan Ketua Eksekutif, Strategi & Komunikasi BSN. 

Program Raudah Ramadan BSN ini merupakan program kolaborasi BSN dan Parlimen Jerlun. Ia melibatkan 100 asnaf yang terdiri daripada para pelajar tingkatan enam Sek Men Kebangsaan Ayer Hitam dan Sek Men Agama Nahdzatul. Sumbangan sebanyak RM200 akan diserahkan kepada setiap pelajar sebagai bantuan menjelang hari raya akan datang nanti. 

Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar berkata, “Program sosial ini diharap dapat meringankan sedikit beban buat mereka dalam melakukan persiapan Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga ianya menyuntik semangat keceriaan kepada mereka dalam menyambut hari raya nanti. Program ini juga secara tidak langsung dilihat sebagai landasan terbaik dalam merapatkan silaturrahim bersama - sama kakitangan BSN.” 

BSN sentiasa memainkan peranannya dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Hal ini kerana ia merupakan salah satu cara terbaik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan sewaktu mereka memerlukannya disamping peranan BSN dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan kepada segenap lapisan masyarakat selama ini. 

Tahun ini, BSN turut kembali dengan kempen Ramadan dan Raya-nya, Kempen Riuhkan Raya BSN 2017 yang diadakan dari 17 April hingga 25 Jun 2017. Ini merupakan kempen menyeluruh kerana melibatkan semua medium media menerusi 3 segmen iaitu, Segmen 1: Peraduan produk pembiayaan kewangan dan Segmen 2: Peraduan sosial media di Facebook BSN Malaysia yang menawarkan baucar-baucar hadiah bernilai RM200, manakala Segmen 3 fokus kepada aktiviti tanggungjawab sosial yang menjurus kepada ikatan silaturrahim kekeluargaan menjelang musim perayaan yang makin hampir ini. 

Baru-baru ini, BSN telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat melalui segmen 3 kempen Riuhkan Raya BSN, dengan menaja tiket penerbangan (pergi dan balik) para pelajar cemerlang terpilih yang menuntut di luar negara untuk pulang beraya bersama keluarga mereka. Memahami erti kepentingan ikatan silaturrahim kekeluargaan sempena sambutan Syawal yang bakal tiba, BSN telah mengambil peluang ini untuk memberi kegembiraan buat para pelanggannya. Rakaman video pertemuan indah ini boleh ditonton di sosial media BSN dan media-media terpilih yang lain pada minggu ketiga Jun 2017. 

Kempen Riuhkan Raya BSN ini diadakan sebagai kesinambungan daripada kempen Ramadan dan Hari Raya pada tahun-tahun lalu iaitu kempen #BSNkataYangPentingIkhlas di mana BSN menggalakkan orang ramai memberi dan membantu golongan yang memerlukan bantuan dengan ikhlas serta memberi bantuan persiapan raya dan barangan keperluan harian kepada para pelanggan BSN yang terpilih dari seluruh Malaysia dan #BSN40Kebaikan yang  memberikan keceriaan kepada anak-anak kecil di wad pediatrik hospital terpilih, masing-masing pada tahun 2016 dan 2015. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk BSN, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release