Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

KEMPEN RIUHKAN RAYA BSN

Kejutan paling bermakna bagi sambutan perayaan pada tahun ini


KUALA KRAI, 18 Jun 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) kembali lagi dengan kempen Ramadan dan Raya-nya, Kempen Riuhkan Raya BSN 2017 yang diadakan dari 17 April hingga 25 Jun 2017. Ini merupakan kempen menyeluruh kerana di samping memberi kembali kepada para pelanggan, BSN turut menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya melalui pelaksanaan kempen ini. 

Pada hari ini, BSN telah memberikan kejutan yang paling bermakna buat keluarga Hafizah Binti Che Ahmed yang merupakan penuntut Ijazah Jurusan Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa, Bangalore, India. Hafizah merupakan seorang daripada tiga pelajar terpilih yang mendapat tajaan tiket penerbangan pulang ke kampung sempena sambutan perayaan, khas daripada BSN. 

Turut hadir bagi menyambut kepulangan Hafizah adalah Encik Komaruddin Mustafa Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kelantan bersama-sama ahli keluarga Hafizah.

Komaruddin berkata, “Pada tahun ini, konsep kempen kami lebih menyeluruh kerana ia melibatkan semua medium media dan dilaksanakan menerusi 3 segmen iaitu Segmen 1: Peraduan produk pembiayaan kewangan di mana pelanggan yang berjaya mendapat mana-mana kemudahan pembiayaan dengan BSN sama ada pembiayaan peribadi, perumahan dan lain-lain, berpeluang memenangi baucar-baucar hadiah bernilai RM200. Manakala Segmen 2 merupakan peraduan sosial media di Facebook BSN Malaysia iaitu Peraduan Seloka Raya di sosial media telah bermula dari 1 Jun – 16 Jun 2017; dan Segmen 3 yang fokus kepada aktiviti tanggungjawab sosial yang menjurus kepada ikatan silaturrahim kekeluargaan menjelang musim perayaan yang makin hampir ini.” 

Tambah Komaruddin, Kempen Riuhkan Raya BSN ini diadakan sebagai kesinambungan daripada kempen Ramadan dan Hari Raya pada tahun-tahun lalu iaitu kempen #BSNkataYangPentingIkhlas di mana BSN menggalakkan orang ramai memberi dan membantu golongan yang memerlukan bantuan dengan ikhlas serta memberi bantuan persiapan raya dan barangan keperluan harian kepada para pelanggan BSN yang terpilih dari seluruh Malaysia dan #BSN40Kebaikan yang memberikan keceriaan kepada anak-anak kecil di wad pediatrik hospital terpilih, masing-masing pada tahun 2016 dan 2015”. 

“Kami melaksanakan kempen perayaan pada tahun ini dengan lebih awal dan secara berperingkat kerana memahami keadaan para pelanggan di luar sana yang sibuk bekerja dan pada masa yang sama, perlu membuat persediaan bagi perayaan yang akan datang nanti. Kami juga amat memahami kepentingan meraikan perayaan bersama keluarga tersayang, lantas adanya program tanggungjawab sosial korporat pada hari ini”, kata Komaruddin. 

Hafizah merupakan salah seorang daripada 3 orang pelajar cemerlang yang terpilih untuk pulang beraya. Memberi penekanan akan kepentingan ikatan silaturrahim kekeluargaan sempena sambutan Syawal yang bakal tiba, BSN menaja kepulangan pelajar-pelajar ini untuk bersama keluarga mereka dengan harapan kepulangan mereka yang sentiasa dinanti akan membawa sinar kegembiraan kepada mereka dan keluarga.  Saksikan rakaman video pertemuan indah mereka yang akan disiarkan di sosial media BSN dan media-media terpilih yang lain pada minggu ketiga Jun 2017. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk BSN, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release