Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT BSN

Perkukuh Hubungan Bersama Sekolah BSN School Educate


Putatan, 5 Ogos 2017 – BSN hari ini menyampaikan sumbangan kemudahan fasiliti dan bantuan peralatan persekolahan kepada Sekolah Kebangsaan Petagas, Putatan, Sabah. Penyampaian sumbangan ini adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) BSN bersama komuniti di Sabah.

Sebanyak 150 unit kerusi plastik, 150 unit meja, 12 unit kipas siling dan beberapa barangan kemudahan persekolahan yang lain telah disumbangkan oleh pihak BSN kepada sekolah Sekolah Kebangsaan Petagas yang merupakan antara 54 buah sekolah fokus di bawah BSN School Educate (BSE)peringkat Negeri Sabah. Program BSE adalah program anjuran BSN yang berorentasikan pendidikan kewangan dan kepentingan menabung, disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia. Program BSE ini juga telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Seiring dengan visi kami iaitu tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan, pihak BSN berhasrat untuk memberikan semua warga Malaysia peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dengan memungkinkan masa depan kewangan yang lebih baik melalui rangkaian yang meluas dan perkhidmatan yang pelbagai. Justeru, apabila pihak kami berpeluang untuk menyumbang kembali kepada para pelanggan kami terutamanya melalui program seperti ini, ianya pasti akan kami laksanakan,” kata          Encik Kameel Abdul Halim, Timbalan Ketua Eksekutif, Strategi dan Komunikasi BSN.

“Kami juga berharap, dengan sumbangan ini nanti dapat membantu seramai 861 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Petagas menimba ilmu dengan selesa dan sekaligus membantu pihak sekolah membuat persiapan bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan berlangsung pada bulan September 2017,” ujar beliau lagi.

Turut hadir di majlis penyerahan sumbangan ini adalah Yang Berbahagia Ir Datu Jamigul bin Datu Salin, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan pengurusan BSN.

Selain penyerahan sumbangan kemudahan fasiliti dan bantuan peralatan persekolahan, pihak BSN turut menganjurkan beberapa aktiviti lain seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sukaneka dan Pertandingan Menulis Esei di sekolah tersebut.

Majlis CSR BSN ini diadakan bersempena penglibatan BSN di Program Karnival Kewangan di Suria Sabah Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah yang berlangsung pada 4 – 6 Ogos 2017.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk BSN, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release