Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN SSP 2017

Perjalanan merealisasikan impian bermula dengan BSN SSP


KUALA LUMPUR,  25 Februari 2017 – Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN terus memperkasakan usaha mendidik amalan menabung dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pengumuman konsep baharu BSN SSP bagi tahun 2017 iaitu "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan”. 

Untuk cabutan kedua tahun ini, BSN mengumumkan senarai pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Tempatan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang. Ganjaran bulan Februari menawarkan RM1 juta bagi kategori Cabutan Istimewa, sebuah Mercedes Benz C200 bagi Cabutan Bulanan, RM10,000 BSN SSP untuk kategori khas Cabutan Remaja dan 15 unit Iphone 7 bagi kategori biasa. 

Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, Dato’ Mearia Hamzah berkata, BSN SSP merupakan satu-satunya produk simpanan yang unik dan tersendiri dalam kalangan produk simpanan yang ditawarkan di pasaran. Malah simpanan BSN SSP bakal memberikan ganjaran yang melebihi nilai simpanan serta ganjaran berganda melalui pelbagai jenis cabutan yang ditawarkan. 

“Ganjaran terhebat kali ini adalah bagi menggalakkan lagi simpanan dalam kalangan penyimpan BSN. Daripada nilai keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang tahun 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan pada setiap bulan”. 

“Cabutan Istimewa sebanyak RM1 juta ditawarkan secara berterusan bagi setiap bulan bermula Januari hingga Disember ini. Penyimpan yang mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini”. 

Ujarnya, penyimpan yang menyimpan sekurang-kurangnya RM10 dan ke atas serta simpanan tidak kurang dari tempoh satu hari sebelum cabutan juga berpeluang memenangi sebuah kereta mewah seperti BMW atau Mercedes Benz serta ganjaran menarik lain menerusi kategori Cabutan Bulanan. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 17 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori iaitu khas dan biasa. Bagi kategori khas simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 manakala bagi kategori biasa nilai minimum simpanan ialah hanya RM50 untuk ganjaran iPhone 7 dan ganjaran menarik lain. 

Pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu boleh membuat simpanan SSP menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan Internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release