Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

CABUTAN BSN SSP 2017 (APRIL)

Tetapkan matlamat untuk menyimpan dengan BSN SSP bagi lapan lagi peluang bergelar Jutawan


Melaka,  29 April 2017 – Menerusi kesinambungan konsep kempen cabutan Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) 2017 iaitu “12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan”, BSN mengumumkan jutawan keempat di majlis cabutan BSN SSP yang diadakan di Aeon, Bandaraya Melaka. Ini bermakna lapan lagi jutawan dalam kalangan penyimpan baharu dan sedia ada akan ‘dilahirkan’ menerusi cabutan BSN SSP sehingga Disember 2017. 

Pengumuman senarai pemenang bagi Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bulan April dibuat oleh Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, Dato’ Mearia Hamzah. 

“Menerusi kempen terbaharu BSN SSP tahun ini, Cabutan Istimewa sebanyak RM1 juta ditawarkan secara berterusan bagi setiap bulan bermula Januari hingga Disember ini. Penyimpan yang mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini”. 

Pada majlis sama, BSN turut meraikan pemenang – pemenang bulan lepas iaitu bulan Mac yang dijemput hadir bagi menerima sendiri ganjaran yang dimenanginya. Encik Eng Kooi Lan dari Perak telah bergelar Jutawan BSN SSP ketiga manakala pemenang Cabutan Bulanan Mac, Cik Vimala A/P Subramaniam dari Negeri Sembilan memenangi kereta mewah BMW 318i dan Cabutan Remaja Kategori Khas Mac adik Saifol A/L Ngah dari Perak yang memenangi ganjaran berupa BSN SSP RM10,000. Majlis turut menjemput adik Nabilla Binti Jais yang merupakan pemenang Cabutan Remaja Kategori Biasa bulan Januari yang berasal dari Melaka untuk menerima hadiah berupa iPhone 7. 

 “Ganjaran terhebat kali ini adalah bagi menggalakkan lagi simpanan dalam kalangan penyimpan BSN. Daripada nilai keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang tahun 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan pada setiap bulan” menurut Dato’ Mearia. 

Ujarnya, penyimpan yang menyimpan sekurang-kurangnya RM10 dan ke atas serta simpanan tidak kurang dari tempoh satu hari sebelum cabutan juga berpeluang memenangi sebuah kereta mewah seperti BMW atau Mercedes Benz serta ganjaran menarik lain menerusi kategori Cabutan Bulanan. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 17 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori iaitu khas dan biasa. Bagi kategori khas simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 manakala bagi kategori biasa nilai minimum simpanan ialah hanya RM50 untuk ganjaran iPhone 7 dan ganjaran menarik lain yang ditawarkan. 

Dato’ Mearia Hamzah berkata, majlis cabutan BSN SSP pada bulan ini berkonsepkan ala karnival dan diadakan di pusat membeli-belah bagi tujuan mendekati orang ramai. Pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga diadakan antaranya cabutan bertuah, pertandingan karaoke terbuka, pertandingan mewarna, wheel of fortune dan banyak lagi yang berlangsung dari 25 April hingga 30 April 2017. 

Melalui majlis cabutan ini, sambil orang ramai melakukan aktiviti riadah di hujung minggu mereka dapat mengetahui lebih lanjut mengenai produk simpanan yang unik dan tersendiri dalam kalangan produk simpanan yang ditawarkan di pasaran serta patuh syariah. Malah simpanan BSN SSP bakal memberikan ganjaran yang melebihi nilai simpanan serta ganjaran berganda melalui pelbagai jenis cabutan yang ditawarkan. 

Pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu boleh membuat simpanan BSN SSP menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan Internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank (EB BSN) dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release