Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

GANJARAN HEBAT BSN SSP 2017

Realisasikan Impian Remaja Bergelar Jutawan Muda


KUALA LUMPUR, 29 Julai 2017 – "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” adalah konsep baharu BSN SSP yang telah diperkenalkan oleh BSN bermula Januari 2017 dan kini mencari jutawan baharu untuk kali yang ke-7. Pengenalan konsep baharu ini adalah selaras dengan usaha BSN untuk terus menerapkan amalan menabung di kalangan rakyat Malaysia. 

Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti,  YBhg Dato’ Mearia Hamzah berkata “membuat simpanan sememangnya satu tabiat yang agak sukar untuk dilakukan oleh ramai orang walaupun ia memberikan faedah yang sangat baik kepada seseorang itu di masa hadapan. Atas dasar itulah, pihak BSN memperkenalkan konsep baharu ini bagi terus menggalakkan orang ramai terutamanya golongan muda untuk mula membuat simpanan”. 

“Saya percaya jika tabiat menyimpan ini diterapkan sedari usia muda, pasti ia akan  menjadi amalan sehingga mereka meningkat dewasa. Mengambil kira perkara ini, pihak BSN juga telah memperkenalkan Cabutan Remaja sebagai salah satu konsep baharu BSN SSP 2017. Remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun layak untuk menyertai cabutan ini dengan memenuhi terma dan syarat tertentu iaitu simpanan minimum sekurang-kurangnya RM1,000 bagi Kategori Khas untuk layak memenangi ganjaran BSN SSP RM10,000 atau mempunyai nilai minimum simpanan RM50 untuk memenangi ganjaran iPhone 7 bagi Kategori Biasa. Saya berharap melalui cabutan yang diperkenalkan ini dapat menggalakkan lagi golongan remaja untuk memulakan simpanan mereka dari awal selain ibu bapa yang turut sama-sama membantu anak-anak membuat simpanan dari semasa ke semasa.” ujar beliau lagi.   

Selain Cabutan Remaja, pemegang BSN SSP juga digalakkan untuk menambah simpanan mereka untuk berpeluang memenangi Cabutan Istimewa RM1 juta. Penyimpan hanya perlu mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas untuk layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini. 

Sementara itu, Cabutan Bulanan BSN SSP juga turut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan melalui ganjaran hebat yang ditawarkan iaitu sebuah kereta mewah BMW atau Mercedes Benz. Penyimpan perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM10 untuk layak menyertai cabutan tersebut. 

BSN juga meraikan pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan Jun di majlis Cabutan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang iaitu Anizah Binti Abd Hamid dari Pahang yang memenangi RM1 juta, pemenang Cabutan Bulanan iaitu Roslan Bin Sehan dari Kuala Lumpur yang memenangi kereta Mercedes C200 dan pemenang Cabutan Remaja – Kategori Khas iaitu Fong Ka Hou dari Pahang yang memenangi BSN SSP RM10,000.

Selain itu, BSN turut mengumumkan senarai pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bagi bulan Julai di mana pemenang akan memenang RM1 juta bagi kategori Cabutan Istimewa, sebuah kereta BMW 318i bagi Cabutan Bulanan, RM10,000 BSN SSP untuk Cabutan Remaja Kategori Khas dan 15 unit iphone 7 bagi Kategori Biasa. 

Bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu,  simpanan SSP boleh dibuat menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release