Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

RM1JUTA REZEKI BULAN MERDEKA

BSN SSP Meneruskan Pencarian Jutawan Baharu 2017


KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) kini meneruskan lagi pencarian jutawan baharu untuk kali ke-8 melalui kempen "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan”. Pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP bulan Ogos bakal membawa pulang RM1 juta sekaligus bergelar jutawan Merdeka 2017. 

Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, YBhg Dato’ Mearia Hamzah berkata “Cabutan Istimewa sebanyak RM1 juta ditawarkan secara berterusan bagi setiap bulan bermula Januari 2017 yang lalu dan kini kami mencari jutawan bagi bulan Ogos atau jutawan merdeka. Penyimpan yang mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini.” 

“Satu-satunya kempen seumpama ini diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai untuk terus membuat simpanan SSP di BSN. Daripada nilai keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang tahun 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan pada setiap bulan,” ujar beliau lagi. 

Turut sama mendapat perhatian adalah Cabutan Bulanan BSN SSP yang menawarkan ganjaran berupa kereta mewah Mercedes Benz C200 bagi pemenang yang bertuah pada bulan Ogos ini. Penyimpan perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM10 untuk layak menyertai cabutan tersebut. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 17 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori iaitu khas dan biasa. Bagi kategori khas, simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 manakala bagi kategori biasa nilai minimum simpanan ialah hanya RM50 untuk ganjaran iPhone 7 dan ganjaran menarik lain yang ditawarkan. 

BSN juga meraikan pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan Julai di majlis Cabutan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang. Bah Goet Eng dari Selangor telah memenangi RM1 juta bagi Cabutan Istimewa, Muhammad Bukhari Bin Mohamad Fazil dari Kuala Lumpur telah memenangi kereta BMW 318i bagi Cabutan Bulanan dan Nur Farah Amirah Bt Mohamad dari Perak telah memenangi BSN SSP RM10,000 bagi Cabutan Remaja – Kategori Khas. 

Pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bagi bulan Ogos turut diumumkan di majlis tersebut. 

Bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu,  simpanan SSP boleh dibuat menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release