Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN SSP TERUSKAN PENCARIAN JUTAWAN BULAN SEPTEMBER 2017

Beri Peluang Rakyat Malaysia Menjadi Jutawan Baharu Setiap Bulan


KUALA LUMPUR, 30 September 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) kini meneruskan lagi kempen "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” untuk mencari jutawan BSN SSP ke-9 yang bakal membawa pulang RM1 juta dan sekaligus bergelar jutawan Hari Malaysia. 

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit, Encik Frederick Siew Kin Meng berkata “Meskipun Hari Malaysia telah berlalu, akan tetapi semangat patriotik tidak seharusnya terhenti setakat itu sahaja. Malah ia perlu digarap oleh setiap warga Malaysia tidak mengira agama dan bangsa dari semasa ke semasa. Bertepatan dengan tema Hari Malaysia ‘Negaraku, Sehati Sejiwa’, BSN juga turut ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama agar sama-sama sehati dan sejiwa menerapkan sifat menyimpan atau menabung sebagai persiapan masa hadapan” ujar beliau. 

“Saya percaya bahawa, setiap bangsa ada cara dan juga nasihat yang tersendiri mengenai tabiat menabung ini. Walau bagaimanapun, ianya semua bertujuan untuk menggalakkan sifat berjimat cermat dan menyimpan yang sememangnya satu amalan baik yang harus diterapkan sedari usia muda. Atas dasar itu juga BSN telah memperkenalkan kempen baharu yang memberikan ganjaran yang lebih hebat kepada para penyimpan untuk terus menggalakkan mereka membuat simpanan dengan BSN SSP. Daripada nilai keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang tahun 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan pada setiap bulan,” ujar beliau lagi. 

Selain ganjaran RM1 juta, turut sama mendapat perhatian adalah Cabutan Bulanan BSN SSP yang menawarkan ganjaran berupa kereta mewah BMW 330e bagi pemenang yang bertuah pada bulan September ini. Para penyimpan perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM10 untuk layak menyertai cabutan tersebut. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 17 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori iaitu khas dan biasa. Bagi kategori khas, simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 manakala bagi kategori biasa nilai minimum simpanan ialah hanya RM50 untuk ganjaran iPhone 7 dan ganjaran menarik lain yang ditawarkan. 

BSN juga meraikan pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan Ogos di majlis Cabutan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang. Nor Hayani bt Abu dari Selangor telah memenangi RM1 juta bagi Cabutan Istimewa, Atan Abdul Wahab bin Muslim dari Johor telah memenangi kereta Mercedes Benz C200 bagi Cabutan Bulanan dan Audrey Celestine Wijaya dari Melaka telah memenangi BSN SSP RM10,000 bagi Cabutan Remaja – Kategori Khas. 

Pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bagi bulan September turut diumumkan dan diraikan di majlis tersebut.

Bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu, simpanan BSN SSP boleh dibuat menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release