Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

BSN PERKENAL PRODUK PEMBIAYAAN
BSN MICROPLUS

Inisiatif Untuk Terus Bantu Perniagaan Usahawan Mikro


Kuala Lumpur, 29 November 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan kemudahan Skim Pembiayaan BSN Microplus bagi terus membantu para usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Selaras dengan komitmen BSN yang sentiasa menyediakan akses kemudahan perbankan menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia, ini merupakan kesinambungan pembiayaan mikro yang telah diperkenalkan dan ditawarkan sebelum ini sejak 10 tahun lalu kepada usahawan-usahawan mikro bagi memastikan perniagaan mereka lebih berdaya saing. 

Pembiayaan BSN Microplus kini ditawarkan dengan jumlah maksimum RM250,000 berbanding Pembiayaan BSN Micro/i sebelum ini yang hanya menawarkan jumlah maksimum RM50,000 sahaja. Keutamaan ditawarkan kepada peminjam sedia ada dengan keupayaan perniagaan yang dinamik, berdaya saing dan berupaya untuk dimajukan ke tahap yang lebih besar serta mempunyai rekod pembayaran yang baik.

“Kami sedia maklum bahawa ianya amat mencabar untuk para usahawan mikro mendapatkan bantuan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan mereka. Justeru, melalui Pembiayaan BSN Microplus yang lebih kompetitif dengan jumlah pembiayaan yang lebih besar dapat membantu mereka sekaligus meneruskan inisiatif pembangunan usahawan mikro di Malaysia”, jelas Ahmad Latfan Mohd Amran, Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN.

Inisiatif BSN untuk membantu para usahawan mikro bermula dengan pembiayaan BSN Micro/i yang diperkenalkan pada tahun 2007. Skim ini telah berkembang  dengan  baik apabila  berjaya membiayai  lebih 58,000 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.5 bilion berbanding 320 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5 juta pada tahun pertama diperkenalkan.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk pembiayaan mikro dan produk-produk BSN yang lain, sila layari www.mybsn.com.my.

 

- END -


Press Release