Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN Rangkul Juara Keseluruhan PSKK KE-43

Juarai 9 daripada 13 Acara yang Dipertandingkan


Kuala Lumpur, 19 November 2017 – Pesta Sukan Kementerian Kewangan kali ke-43 (PSKK43) telah melabuhkan tirainya pada hari ini dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) muncul sebagai juara keseluruhan apabila meninggalkan 12 agensi lain yang bertanding dengan punggutan mata sebanyak 130. 

BSN juga telah menjuarai sembilan (9) acara daripada 13 acara yang dipertandingkan di PSKK43 pada tahun ini. Acara-acara tersebut adalah Golf, Futsal Wanita, Bola Tampar, Badminton, Tenpin Bowling, Tenis, Catur, Sepak Takraw dan Bola Jaring. Kali terakhir BSN merangkul gelaran juara keseluruhan PSKK adalah pada tahun 2015 yang lalu. Sebelum ini BSN telah merangkul juara keseluruhan selama 10 tahun berturut-turut sejak tahun 2005-2015. 

Majlis penutup PSKK43  telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Wira Othman bin Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I. Hadir sama di majlis penutup tersebut adalah Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan Malaysia (MKSAKK); Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN serta barisan ahli pengurusan tertinggi agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF). 

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada BSN selaku tuan rumah dan Jawatankuasa Pengelola kerana telah berjaya menganjurkan PSKK43 2017 dengan begitu baik sekali. Semestinya penganjuran kejohanan ini menuntut komitmen yang padu, kerja berpasukan yang jitu dan pengurusan yang cekap dan berkesan dalam memastikan kelancaran kejohanan ini sedari mula iaitu pada 10 November 2017 lalu hingga ke hari penutup pada hari ini, 19 November 2017,” ujar Yang Berhormat Dato’ Wira Othman bin Aziz, Timbalan Menteri Kewangan I. 

"Diharapkan komitmen, semangat kesepakatan dan perpaduan ini diteruskan dalam penganjuran PSKK yang akan datang agar ia dapat menjadi medium yang baik untuk menggembleng ikatan muhibah, sikap toleransi dan kesefakatan kepada semua agensi yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan,” ujar beliau lagi. 

Sementara itu, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan Malaysia (MKSAKK) pula berkata “PSKK adalah acara tahunan di mana ia dianjurkan secara bergilir oleh agensi di bawah MOF. Dengan pembukaan penyertaan kepada empat (4) buah agensi seperti  EXIM Bank Malaysia, Agro Bank Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank, penganjuran kejohanan seumpama ini diharapkan dapat memberi pendedahan, ruang dan peluang kepada semua agensi untuk mempamerkan aksi terbaik dalam acara sukan yang diwakili sekaligus menggalakkan warga dan agensi MOF untuk kekal sihat, cergas dan membudayakan sukan.” 

PSKK merupakan pesta sukan tahunan kelolaan agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan sejak tahun 1974. Sebanyak 13 buah agensi telah menghantar penyertaan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan atlet seramai lebih 2300 orang. 

Berikut adalah senarai pungutan mata dan kedudukan agensi PSKK43 2017:

 

Bil

Agensi Bertanding

Pungutan Mata

Kedudukan

1

Bank Simpanan Malaysia (BSN)

130

1

2

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

106

2

3

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

90

3

4

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

64

4

5

Kementerian Kewangan/Perbendaharaan (MOF)

45

5

6

Bank Negara Malaysia (BNM)

41

6

7

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)

30

7

8

Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH)

22

8

9

Bursa Malaysia Berhad

15

9

10

Kumpulan Wang Persaraan (KWAP)

12

10

11

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)

12

10

12

Suruhanjaya Sekuriti (SC)

8

12

13

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

4

13

 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kontinjen BSN kerana telah mempamerkan ketangkasan, kehebatan dan semangat juang yang tinggi dalam acara-acara sukan yang diwakili sehingga BSN dinobatkan sebagai juara keseluruhan PSKK43 pada hari ini. Sesungguhnya, kejayaan ini adalah kejayaan bersama dan sudah pastinya diraikan oleh semua warga BSN di seluruh negara,” ujar Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN. 

“Kepada pasukan yang tidak bernasib baik pada tahun ini, jangan berputus asa kerana sesungguhnya kekalahan hari ini merupakan satu titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih gemilang lagi pada masa hadapan,” tambah beliau lagi. 

PSKK43 telah berlangsung selama sembilan (9) hari bermula dari 10 hingga 19 November 2017 dengan menyaksikan atlet daripada setiap agensi bersaing dalam pelbagai acara termasuk golf, futsal, catur, ping pong, bola tampar, bola sepak, badminton, tenpin bowling, sepak takraw, tenis, bola jaring dan olahraga. 

Turut dipertandingkan di PSKK43 adalah acara perbarisan dengan tema adiwira oleh semua 13 agensi yang terlibat di mana Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah muncul juara, Bank Simpanan Malaysia (BSN) di tempat kedua dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di tempat ketiga. Sementara itu, adiwira BSN iaitu ‘Catwoman’ telah memenangi Ratu Plakad pada tahun ini. 

Majlis penutup PSKK43 turut memperkenalkan logo baharu Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan Malaysia (MKSAKK) yang akan digunakan dalam temasya PSKK44 akan datang dikelolakan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH). 

Layari laman rasmi media sosial PSKK43 di facebook @pskk43 dan instagram @pskk2017 untuk mengikuti dan mendapatkan maklumat terkini mengenai acara-acara sukan dan pelbagai infomasi menarik yang lain. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk-produk BSN, sila layari www.mybsn.com.my.

 

 

- END -


Press Release