Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN SSP TERUSKAN PENCARIAN JUTAWAN BULAN OKTOBER 2017

Terapkan Amalan Menyimpan Sebagai Satu Kebiasaan


KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) kini meneruskan lagi kempen "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” untuk mencari jutawan BSN SSP ke-10 yang bakal membawa pulang RM1 juta sekaligus bergelar jutawan. 

Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, YBhg Dato’ Mearia Hamzah berkata “sebenarnya amalan menyimpan wang atau menabung ini telah pun diamalkan sejak berkurun lamanya. Sebagai contoh, dahulu duit disimpan di bawah tikar, di bawah lipatan baju, dalam tin-tin biskut dan sebagainya. Kemudian tabung pula diperkenalkan dalam pelbagai saiz dan bentuk. Amalan menabung ini terus diajar dan diterapkan oleh ibu bapa kita sebagai perkara asas yang biasa dilakukan sejak kita kecil lagi. Kita dilatih dan dididik untuk menyimpan sebahagian daripada wang yang diperolehi demi kebaikan dan jaminan di masa hadapan.” 

“Kini, selaras dengan peredaran zaman yang serba canggih, bank adalah tempat yang lebih sesuai untuk kita menyimpan duit. Istilah menabung itu tetap sama, cuma dalam kaedah yang berbeza. Justeru,bagi terus menggalakkan sifat menabung dan menyimpan, BSN telah memperkenalkan kempen baharu yang memberikan ganjaran yang lebih hebat kepada para penyimpan BSN SSP. Daripada nilai keseluruhan ganjaran sebanyak RM17.7 juta, sebanyak 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan BSN SSP sepanjang tahun 2017 di mana 1,128 ganjaran akan diberikan pada setiap bulan,” ujar beliau lagi. 

Selain ganjaran RM1 juta yang memerlukan penyimpan mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas untuk layak menyertai Cabutan Istimewa, turut sama mendapat perhatian adalah Cabutan Bulanan BSN SSP yang menawarkan ganjaran berupa kereta mewah Mercedes Benz C200 bagi pemenang yang bertuah pada bulan Oktober ini. Para penyimpan perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM10 untuk layak menyertai cabutan tersebut. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 17 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori iaitu khas dan biasa.  Bagi kategori khas, simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 manakala bagi kategori biasa nilai minimum simpanan ialah hanya RM50 untuk ganjaran iPhone 7 dan ganjaran menarik lain yang ditawarkan. 

BSN juga meraikan pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan September di majlis Cabutan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang. Rozila binti Zainol dari Kedah telah memenangi RM1 juta bagi Cabutan IstimewaTan Fong Pic dari Kuala Lumpur telah memenangi kereta BMW 330e bagi Cabutan Bulanan dan Muhammad Farhan bin Tajudin dari Perak telah memenangi BSN SSP RM10,000 bagi Cabutan Remaja – Kategori Khas.

Pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bagi bulan Oktober turut diumumkan dan diraikan di majlis tersebut.

Bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu, simpanan BSN SSP boleh dibuat menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM). 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

 

- END -


Press Release