Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN TUAN RUMAH PSKK KE-43

13 Agensi Semarakkan Satu Semangat Satu Matlamat


Kuala Lumpur, 11 November 2017 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah menganjurkan Majlis Perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) kali ke-43 bertempat di Stadium Inspen, Bangi, Selangor. Majlis perasmian yang gilang gemilang dan penuh dengan laungan semangat dari 13 agensi yang bertanding ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II. 

Hadir sama di majlis perasmian tersebut adalah Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan Malaysia (MKSAKK); Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN serta barisan ahli pengurusan tertinggi agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF). 

Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II berkata “Sesungguhnya, PSKK bukan sahaja menjadi platform untuk bersukan bagi melahirkan warga yang sihat, cergas dan produktif, malah ia juga dapat memupuk semangat kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi dalam sesebuah organisasi yang harus dimanfaatkan untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan, kekitaan dan kekeluargaan khususnya dalam kalangan warga Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawahnya.” 

Sementara itu, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kementerian Kewangan Malaysia (MKSAKK) pula berkata “PSKK adalah acara tahunan di mana ia dianjurkan secara bergilir oleh agensi di bawah MOF. Penganjuran kejohanan seumpama ini dapat memberi pendedahan, ruang dan peluang kepada semua agensi untuk mempamerkan aksi terbaik dalam acara sukan yang diwakili sekaligus menggalakkan warga dan agensi MOF untuk kekal sihat, cergas dan membudayakan sukan. Ini secara tidak langsung dapat membantu kita melaksanakan tugasan harian kita dengan lebih baik dan cemerlang.” 

PSKK merupakan pesta sukan tahunan kelolaan agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan sejak tahun 1974. Sebanyak 13 buah agensi telah menghantar penyertaan dalam temasya ini dengan jumlah keseluruhan atlet seramai lebih 2300 orang. 

Berikut adalah senarai agensi yang turut serta dalam PSKK43 2017: 

  1. Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH),
  2. Bank Negara Malaysia (BNM),
  3. Jabatan Kastam Diraja Malaysia,
  4. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),
  5. Kementerian Kewangan/Perbendaharaan,
  6. Bursa Malaysia Berhad,
  7. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),
  8. Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),
  9. Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM),
  10. Kumpulan Wang Persaraan (KWAP),
  11. Suruhanjaya Sekuriti (SC),
  12. Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan,
  13. Bank Simpanan Malaysia (BSN) selaku tuan rumah. 

 

“BSN merupakan di antara agensi terawal di bawah Kementerian Kewangan yang menyertai temasya sukan berkenaan. Pernah menjadi tuan rumah PSKK hampir 10 tahun dahulu iaitu pada tahun 2008 dan pada tahun ini, BSN sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk mengacarakan PSKK buat kali ke-43,” ujar Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN. 

“Pemilihan tema ‘Satu Semangat, Satu Matlamat’ amat tepat kerana ianya memberi deskripsi bahawa siapa jua kita, walaupun di bawah payung agensi yang berlainan, kita harus mempunyai satu semangat yang jitu bagi mencapai satu matlamat yang sama iaitu kecemerlangan dalam apa jua bidang yang kita ceburi,” ujar beliau lagi. 

Pesta sukan ini berlangsung selama sembilan (9) hari bermula dari 10 hingga 19 November 2017 dengan menyaksikan atlet daripada setiap agensi bersaing dalam pelbagai acara termasuk golf, futsal, catur, ping pong, bola tampar, bola sepak, badminton, tenpin bowling, sepak takraw, tenis, bola jaring dan olahraga. 

Turut dipertandingkan di PSKK ke-43 adalah acara perbarisan dengan tema adiwira oleh semua 13 agensi yang terlibat selain penganugerahan juara plakad PSKK43.

Layari laman rasmi media sosial PSKK43 di facebook @pskk43 dan instagram @pskk2017 untuk mengikuti dan mendapatkan maklumat terkini mengenai acara-acara sukan dan pelbagai infomasi menarik yang lain.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai produk-produk BSN, sila layari www.mybsn.com.my.

 

- END -


Press Release