Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

MAJLIS PENYERAHAN EMPAT (4) BUAH JET SKI
OLEH BSN KEPADA MARITIM MALAYSIA

 

PUTRAJAYA, 20 FEBRUARI 2018 - Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengorak langkah setapak lagi dalam memperkemaskan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) maritim menerusi penerimaan Jet Ski yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak empat (4) buah. 

Yang Berbahagia Laksamana Maritim Dato’ Indera Zulkifili bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Maritim Malaysia berkata, sumbangan ini adalah melalui persetujuan yang pernah dipersetujui di antara Maritim Malaysia dan BSN dengan mewujudkan memorandum persefahaman (MOU) dalam tujuan meningkatkan kemudahan penduduk dan pelancongan di Pulau Tioman, Pahang sejak tahun 2015. 

Maritim Malaysia telah membantu BSN dalam aspek pengangkutan membabitkan urusan operasi perbankan dengan menggunakan aset bot Maritim Malaysia.

Oleh yang demikian melalui sumbangan ini secara tidak langsung dapat memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) BSN bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. 

Dengan adanya kemudahan Jet Ski ini, Maritim Malaysia dapat mempertingkatkan lagi keberkesanan operasi mencari dan menyelamat yang sering berlaku di negara ini terutama pada musim tengkujuh. Selain itu, aset ini juga boleh digunakan sebagai bantuan bagi tempat yang mengalami bencana banjir dalam urusan menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Oleh yang demikian, pihak Maritim Malaysia amat memuji keprihatinan BSN dalam menyalurkan Jet Ski ini kepada pihak APMM. Diharapkan agar kerjasama erat seperti ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa di antara kedua-dua pihak. 

Yang Berbahagia Datuk Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN berkata  “BSN sesungguhnya amat menitikberatkan Tanggungjawab Sosial Korporat yang merupakan salah satu elemen penting dalam organisasi ini.     Menerusi janji jenama BSN iaitu “menggapai kehidupan yang lebih baik”, BSN akan sentiasa terus mencari pelbagai platform untuk mengembangkan inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Justeru, melalui kerjasama ini, saya berharap agar ia dapat sedikit sebanyak membantu APMM menjalankan tugas-tugas mencari dan menyelamat dengan lebih baik lagi.”   

Sebagai permulaan dua (2) buah Jet Ski ini akan ditempatkan di Daerah Maritim Klang (DM4) dan dua (2) buah lagi akan ditempatkan di Pangkalan Maritim Batu Pahat yang merupakan lokasi mencari dan menyelamat melibatkan mangsa lemas yang tinggi di Selat Melaka. 

Pada masa hadapan, pihak Maritim Malaysia juga akan menempatkan  Jet Ski yang diperolehi di kapal-kapal yang sesuai seperti kapal Offshore Petrol  Vessel (OPV) yang baharu supaya operasi penguatkuasaan dan juga operasi mencari dan menyelamat akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. 

Katanya, dengan adanya Jet Ski ini dapat meningkatkan kepantasan masa respon (response time) operasi carilamat ke tahap yang baik bagi  mengurangkan risiko kehilangan nyawa. Akhir kata saya mengucapkan sekali lagi ribuan terima kasih kepada pihak BSN kerana sudi menyumbangkan Jet Ski tersebut kepada Maritim Malaysia. Semoga kita semua dipermudahkan segala urusan dalam melaksanakan tugas seharian.

 

- END -


Press Release