Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

CABUTAN BSN SSP

Meneruskan Pencarian 12 Orang Jutawan BSN SSP

 

Kuala Lumpur,  28 April 2018 – BSN hari ini meraikan jutawan BSN SSP bulan Mac bagi kempen Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) 2018 iaitu “Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” yang diadakan di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Puan Zalinah binti Md Dalis dari Johor telah memenangi RM1 juta melalui Cabutan Istimewa BSN SSP sekaligus menjadi pemenang jutawan ke-3 bagi kempen BSN SSP tahun 2018. 

Merupakan seorang ketua jururawat, ibu kepada 3 orang anak yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di Johor ini mula menyimpan BSN SSP sejak 10 tahun yang lalu dan tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang pemenang utama bagi BSN SSP. Menurut beliau, kemenangan ini merupakan hadiah terbesar yang pernah dimenangi dan merupakan memori indah yang tidak akan beliau lupakan. 

Puan Zalinah telah diraikan dalam majlis penyampaian hadiah berupa replika cek RM1 juta yang disampaikan oleh Encik Mohd Supian Mat Nan, Naib Presiden/Ketua Perbankan Islam BSN dan Encik Haris Yaakob Abdullah, Naib Presiden/Ketua Strategi Korporat BSN. 

Turut sama diraikan di majlis tersebut adalah pemenang-pemenang Bulan Mac Cabutan Bulanan BSN SSP iaitu Encik Ayub bin Untoh dari Perak yang telah memenangi kereta BMW 318i dan pemenang Cabutan Remaja BSN SSP – Hadiah Utama iaitu Muhammad Hidayat bin Abdullah dari Pahang, Joeanne Ch’ng dari Kedah dan Muhammad Ziyad bin Ismail dari Pahang yang telah memenangi BSN SSP RM10,000. 

“Pada tahun ini, BSN masih lagi meneruskan ganjaran BSN SSP RM1 juta kepada  12 orang pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP. Pada tahun lepas, seramai 12 orang penyimpan BSN dari seluruh Malaysia telah pun menjadi jutawan. Sehingga kini, tiga (3) orang jutawan telah diketahui. Ini bermakna sembilan (9) orang lagi penyimpan BSN SSP pada tahun ini bakal bergelar jutawan. Jadi apa anda tunggu lagi, simpanlah di BSN SSP hari ini dan anda mungkin salah seorang jutawan yang kami cari,” ujar Encik Kameel Abdul Halim, Ketua Pegawai Perniagaan BSN.

“Sama seperti tahun sebelumnya, penyimpan perlu mempunyai simpanan minimum sebanyak RM3,000 ke atas untuk layak menyertai Cabutan Istimewa BSN SSP yang terbuka kepada penyimpan berumur 12 tahun ke atas,” tambah beliau lagi. 

Melalui kempen BSN SSP 2018 iaitu “Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” ini, BSN menawarkan ganjaran lebih lumayan kepada para penyimpan dengan nilai keseluruhan mencecah RM20 juta. Penawaran hadiah yang lebih lumayan ini merupakan penghargaan khas BSN kepada para penyimpan setia BSN SSP di samping untuk terus menggalakkan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda menyimpan.

Atas dasar itulah BSN juga turut memperkenalkan Cabutan Remaja Istimewa sebagai cabutan terbaru pada tahun ini bagi menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Uniknya, cabutan ini akan diadakan sekali sahaja iaitu pada bulan Mei 2018 di mana seramai 10 orang pemenang bakal menerima simpanan tunai dalam bentuk BSN SSP yang bernilai RM25,000. Ganjaran ini diharapkan dapat membantu membiayai perbelanjaan pendidikan mereka pada masa akan datang. Untuk menyertainya, penyimpan perlu mempunyai simpanan minimum RM1,000 dan ke atas serta mestilah berumur 12 tahun hingga 21 tahun. 

Ini merupakan peluang baik kepada para remaja khususnya yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian agar berpeluang memenangi  ganjaran lumayan ini yang ditawarkan oleh BSN melalui BSN SSP. Kepada mereka yang sudah membuat simpanan pula, tambahlah simpanan anda dari semasa ke semasa bagi melayakkan anda menyertai cabutan-cabutan lain BSN SSP 2018.

Pada majlis sama, BSN turut mengumumkan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP April 2018. Senarai para pemenang boleh disemak di laman web BSN www.mybsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSN Malaysia.

 

- END -


Press Release