Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

CABUTAN BSN SSP

Terus Menggalakkan Amalan Menyimpan Melalui Kempen Cabutan Khas


Kuala Lumpur, 26 Mei 2018 – BSN hari ini meneruskan lagi kesinambungan kempen cabutan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) melalui kempen “Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” sepanjang tahun 2018. Kempen ini menawarkan ganjaran lebih lumayan kepada para penyimpan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM20 juta berbanding jumlah hadiah pada tahun 2017 iaitu RM17.7 juta. Penawaran jumlah hadiah yang lebih lumayan ini merupakan penghargaan khas BSN kepada para penyimpan setia BSN SSP di samping untuk terus menggalakkan lagi masyarakat Malaysia menyimpan. 

Selain menawarkan jumlah hadiah yang lebih lumayan, BSN juga turut giat menggalakkan lagi amalan menyimpan melalui beberapa kempen Cabutan Khas BSN SSP seperti kempen Cabutan Khas untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.      Kempen yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Guru ini sebenarnya telah pun bermula pada 1 Mei 2018 yang lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Oktober 2018. Sebanyak 516 ganjaran berjumlah RM149,700 menanti warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Untuk menyertainya, apa yang perlu penyimpan lakukan adalah dengan menyimpan simpanan minimum sebanyak RM1,000 dan ke atas. Para pemenang pula akan diumumkan melalui majlis cabutan yang akan diadakan pada bulan November 2018. 

 “Sebagai sebuah bank yang dimandatkan oleh kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia menyimpan wang, BSN telah dari semasa ke semasa memperkasakan amalan menyimpan ini melalui pelbagai inisiatif serta produk-produk dengan ciri-ciri simpanan yang menguntungkan seperti BSN SSP. Selaras dengan itu juga, BSN telah mempertingkatkan bukan sahaja ganjaran keseluruhan BSN SSP malah turut memperkenalkan cabutan-cabutan baharu serta kempen-kempen khas pada tahun ini.

Ini semua adalah demi menggalakkan lagi orang ramai, terutamanya badan-badan kerajaan untuk menananamkan amalan menyimpan dalam kehidupan seharian mereka,” ujar Encik Kameel Abdul Halim, Ketua Pegawai Perniagaan BSN. 

“Saya juga percaya bahawa, kekangan masa serta jadual tugasan yang padat kadang kala menjadi penghalang untuk kita menyimpan. Justeru, melalui kempen cabutan khas seperti ini diharapkan dapat menggalakkan anda terutamanya warga Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memulakan simpanan bersama BSN SSP. Ini kerana BSN SSP ini, semakin disimpan, semakin lumayan,” tambah beliau lagi. 

Di samping itu, BSN turut memperkenalkan Hadiah Khas bernilai RM25,000 sebagai ganjaran baharu bagi Cabutan Remaja. Uniknya, cabutan ini hanya diadakan sekali sahaja sepanjang tahun 2018 iaitu pada bulan Mei 2018 di mana seramai 10 orang pemenang berumur 12 tahun hingga 21 tahun bakal menerima ganjaran lumayan ini. Untuk menyertainya, penyimpan perlu mempunyai simpanan minimum RM1,000 dan ke atas. 

BSN juga turut meraikan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP bagi bulan April 2018 di Wisma BSN, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemenang-pemenang tersebut adalah Encik Yaakob Bin Mohamad Arsat dari Selangor yang telah memenangi Cabutan Istimewa BSN berupa simpanan tunai BSN SSP RM1 juta manakala Encik Othman Bin Awang dari Terengganu telah memenangi Cabutan Bulanan BSN SSP berupa kereta mewah BMW 318i. 

Sementara itu, pemenang bagi Cabutan Remaja BSN SSP (Hadiah Utama - BSN SSP RM10,000) pula telah dimenangi oleh Praveen Mahindran dari Negeri Sembilan, Siti Nur Aishah Binti A. Wahab dari Johor dan Syazwani Syahirah Binti Azman Shah dari Pahang. Bagi Cabutan Remaja BSN SSP (Hadiah Sagu Hati – iPhone 8) telah dimenangi oleh Logesree L Murugan dari Selangor, Wong Ce Hong dari Negeri Sembilan dan Lai Chi Ying dari Perak. 

Pada majlis yang sama, BSN turut mengumumkan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP Mei 2018. Senarai para pemenang boleh disemak di laman web BSN www.mybsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSN Malaysia.

 

 

- END -


Press Release