Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

BSN RAI JUTAWAN BSN SSP KE-6

Peluang Kepada 6 Orang Penyimpan BSN SSP Lagi Untuk Bergelar Jutawan

 

Kuala Lumpur, 28 Julai 2018 – BSN hari ini meraikan jutawan BSN SSP ke-6 yang diadakan di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Encik Mohd Khafifi bin Ahmad Subaker dari Terengganu telah diumumkan sebagai pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP bulan Jun 2018 sekaligus memenangi BSN SSP RM1 juta

Encik Mohd Khafifi28 tahun yang merupakan seorang juruteknik telah memulakan simpanan beliau sejak setahun yang lalu secara konsisten. Ketika dihubungi, Encik Mohd Khafifi tidak mempercayai bahawa beliau telah memenangi ganjaran utama BSN SSP. Walau bagaimanapun, setelah menyemak nama beliau di laman sesawang myBSN, barulah beliau benar-benar pasti dan percaya bahawa beliau adalah merupakan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP. 

Bapa kepada seorang anak ini tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang pemenang utama bagi BSN SSP. Menurut beliau, kemenangan ini merupakan hadiah terbesar yang pernah dimenangi dan merupakan memori indah yang tidak akan beliau lupakan. 

Encik Mohd Khafifi telah diraikan dalam majlis penyampaian hadiah berupa replika cek RM1 juta yang disampaikan oleh Encik Ahmad Noh Jeni, Naib Presidan Kanan/ Ketua, Operasi Perbankan BSN. 

Turut sama diraikan di majlis tersebut adalah pemenang Cabutan Bulanan BSN SSP iaitu Nik Rulazman bin Nik Mohd Rosdy dari Kuala Lumpur yang telah memenangi kereta BMW 318i dan pemenang Cabutan Remaja BSN SSP – Hadiah Utama iaitu Tan Jun Yu dari Sarawak, Yip Jian Thong dari Perak  dan Ho Khai Zhi dari Pulau Pinang yang telah memenangi BSN SSP RM10,000. 

“Ini merupakan peluang yang baik kepada orang ramai yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian agar berpeluang memenangi lebih banyak ganjaran lumayan yang ditawarkan oleh BSN melalui BSN SSP. Kepada mereka yang sudah membuat simpanan pula, tambahlah simpanan anda dari semasa ke semasa bagi melayakkan anda menyertai cabutan-cabutan BSN SSP 2018,” kata Encik Ahmad Noh Jeni, Naib Presidan Kanan/ Ketua, Operasi Perbankan BSN. 

“Selain itu juga, pihak BSN telah menyediakan pelbagai saluran untuk membantu para pelanggan kami yang ingin memulakan simpanan ataupun yang mahu menambah simpanan sedia ada. Anda boleh berkunjung ke mana-mana cawangan BSN, Mesin Teller Automatik (ATM) BSN, Mesin Deposit Tunai (CDM) BSN, Perbankan Internet (myBSN), Perbankan SMS dan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN di seluruh negara. Jadi mulakan simpanan anda hari ini. BSN SSP, semakin disimpan semakin lumayan.” Tambah beliau lagi. 

Sehingga Mei 2018, BSN SSP terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai di mana sebanyak lebih 3.1 juta orang penyimpan dicatatkan di seluruh Malaysia dengan simpanan lebih RM3.32 bilion. 

Pada majlis yang sama, BSN turut mengumumkan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP Julai 2018. Senarai para pemenang boleh disemak di laman web BSN www.mybsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSN Malaysia.

 

 

- END -


Press Release