Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN BANTU MENYELARAS DANA UNTUK USAHAWAN KOMUNITI CINA

 

Kuala Lumpur, 17 Januari 2019 – Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan antara sektor terpenting yang menjana ekonomi negara. Berdasarkan laporan prestasi ekonomi negara pada tahun 2017, IKS di Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi iaitu sebanyak 7.2% berbanding pada tahun 2016 iaitu 5.2%.  Atas dasar itu juga, pihak kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan pelbagai peluang dan bantuan bagi membantu usahawan-usahawan IKS membangunkan perniagaan mereka. 

Kerajaan komited dalam memastikan inisiatif untuk menyalurkan dana kepada mereka yang kurang mendapat akses kemudahan perbankan dengan mengenal pasti mereka yang benar-benar layak mendapatkan akses dana tersebut berdasarkan mekanisme yang telus. Ini merupakan hasrat kerajaan untuk memupuk budaya negara keusahawanan melalui inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan sebelum ini. 

BSN juga tidak ketinggalan dalam menyokong aspirasi kerajaan ini. BSN mula memperkenalkan pembiayaan mikro kepada orang ramai pada tahun 2007, di mana ianya terbuka kepada usahawan-usahawan mikro di Malaysia dalam membantu  membangunkan perniagaan mereka seperti Bantuan Pembiayaan kepada Penduduk Tetap Kampung Baru Cina (PKBC) yang telah ditawarkan sebelum ini. Pembiayaan ini telah berjaya membantu para usahawan mikro mengembangkan perniagaan mereka seperti mendapatkan modal pusingan, membuat pengubahsuaian premis, membeli perkakasan dan aset perniagaan. 

Selain pembiayaan mikro, BSN juga telah memperkenalkan pembiayaan-pembiayaan lain untuk pelbagai komuniti seperti Pembiayaan Industri Kreatif, Skim Pinjaman TEKS1M, Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) dan lain-lain lagi. 

Terbaharu, selaras dengan pembentangan Belanjawan 2018 yang lalu, dana pinjaman Skim Penjaja Kecil Cina dan dana pinjaman Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina telah diperkenalkan di mana Kementerian Kewangan Malaysia telah melantik BSN sebagai bank penyelaras bagi mengendalikan skim-skim ini.  Ianya adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Kewangan Malaysia untuk lebih telus dalam penyaluran pembiayaan melalui institusi perbankan. 

Bagi Skim Penjaja Kecil Cina, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan berjumlah RM5,000 hingga RM20,000 untuk tempoh pinjaman selama satu (1) tahun hingga lima (5) tahun. Sementara itu, bagi Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina pula, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan berjumlah RM5,000 hingga RM50,000 untuk tempoh pinjaman yang sama iaitu selama satu (1) tahun hingga lima (5) tahun. 

Para usahawan/ perusaha mikro yang berminat untuk memohon pembiayaan ini perlu memenuhi syarat dan kelayakan seperti warganegara Malaysia, berbangsa Cina, berumur di antara 21 tahun hingga 65 tahun, perniagaan di bawah sektor mikro (perniagaan pemilikan tunggal dan perkongsian liabiliti terhad) serta memiliki pendaftaran perniagaan dari SSM dan/atau lesen perniagaan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sah. 

Selain itu, bagi pemohon Skim Penjaja Kecil Cina, mereka juga perlu mempunyai perniagaan yang telah beroperasi secara aktif sekurang-kurangnya dua (2) tahun, beroperasi di ruang tapak (yang sama atau berbeza-beza lokasi) yang disediakan oleh penganjur selain barangan yang dijual mestilah sah di bawah undang-undang Malaysia. 

Bagi pemohon Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina pula, pemohon hendaklah memiliki perniagaan dalam bidang yang sama seperti peruncitan dan pemborongan, pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain sektor dan sub sektor yang diluluskan oleh BSN untuk tempoh minimum enam (6) bulan ke atas. 

“Sejak mula diperkenalkan pada 2007, pembiayaan mikro BSN  telah berkembang dengan baik apabila berjaya membiayai lebih 62,000 pelanggan sehingga Disember 2018 dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.6 bilion berbanding 320 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5 juta pada tahun pertama diperkenalkan. Peningkatan ini telah menjadikan BSN sebagai pembiaya pembiayaan mikro tertinggi          di Malaysia iaitu sebanyak 45.7% berbanding 10 institusi perbankan yang lain (sehingga November 2018, Sumber dari BNM). Sehingga Disember 2018, pembiayaan mikro BSN telah menerima sebanyak 9,860 permohonan pembiayaan dan telah mencatatkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM98.3 juta dengan membiayai lebih 2,800 pelanggan,” jelas Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN. 

“Kami juga sedia maklum bahawa bidang perniagaan yang dijalankan oleh para usahawan mikro menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan pembiayaan daripada institusi perbankan komersial yang lain. Justeru, melalui skim yang diperkenalkan ini diharapkan dapat membantu para usahawan mikro dan penjaja kecil masyarakat Cina memperolehi pembiayaan yang diperlukan untuk memperkembangkan perniagaan mereka sekaligus menjadi lebih kompetitif dalam meneruskan inisiatif pembangunan perusahaan mikro di Malaysia,” tambah beliau lagi. 

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai skim ini dan pelbagai skim-skim mikro BSN yang lain, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana 41 Pusat Mikro Kewangan BSN atau Cawangan BSN yang berhampiran di seluruh Malaysia atau layari laman sesawang BSN di www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release