Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

CABUTAN BSN SSP

BSN RAI JUTAWAN BSN SSP TERAKHIR 2018

 

Kuala Lumpur,  26 Januari 2019 – BSN hari ini meraikan jutawan terakhir bagi kempen Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) 2018 iaitu “Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” yang diadakan di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Encik Yahaya bin Abdullah dari Terengganu telah memenangi RM1 juta melalui Cabutan Istimewa BSN SSP bulan Disember 2018 sekaligus mengakhiri pencarian jutawan ke-12 bagi kempen BSN SSP tahun 2018. 

Encik Yahaya yang merupakan seorang pengusaha ladang limau kini tersenarai sebagai 12 orang penyimpan yang telah menjadi jutawan melalui Cabutan Istimewa BSN SSP 2018. 

Berikut adalah senarai 12 orang jutawan BSN SSP 2018:

 

Senarai Pemenang

Bulan

Negeri

Nur Malawati

Januari

Selangor

Nor Azimi bin Ab. Samad

Februari

Johor

Zalinah binti Md Dalis

Mac

Johor

Yaakob bin Mohamad Arsat

April

Selangor

Ismail bin Din

Mei

Pulau Pinang

Mohd Khafifi bin Ahmad Subaker 

Jun

Terengganu

Encik Ahmad Zharif Robbani bin Rozali

Julai

Kelantan

Joe Ak Richard

Ogos

Sabah

Mohd Samsul Bahri bin Saad

September

Kelantan

Ramlan bin Abdul Rahman

Oktober

Melaka

Rasathurai A/L Chelliah

November

Selangor

Encik Yahaya bin Abdullah

Disember

Terengganu

Bapa kepada lima (5) orang anak ini mula menyimpan BSN SSP sejak sembilan (9) tahun yang lalu dan tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang pemenang utama bagi BSN SSP. Menurut beliau, kemenangan ini merupakan hadiah terbesar yang pernah dimenangi dan merupakan memori indah yang tidak akan beliau lupakan. 

Encik Yahaya telah diraikan dalam majlis penyampaian hadiah berupa replika cek  RM1 juta yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN. 

Turut sama diraikan di majlis tersebut adalah pemenang Cabutan Bulanan BSN SSP iaitu Azizon bin Samsudin dari Perak yang telah memenangi kereta BMW X5,  pemenang Cabutan Remaja BSN SSP – Hadiah Utama iaitu Muhammad Haiqal Aiman bin Idrus dari Kedah/Perlis, Jasmine Eleena Chee Eugene dari Kuala Lumpur  dan Nur Izzatun Nadia binti Saiful Bahri dari Perak yang telah memenangi BSN SSP RM10,000 setiap seorang. 

Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN berkata “sebagai sebuah bank yang dimandatkan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda untuk menyimpan, BSN telah dari semasa ke semasa memperkenalkan produk-produk dengan ciri-ciri simpanan yang menguntungkan seperti BSN SSP. Sehingga Disember 2018, BSN SSP terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai di mana jumlah penyimpan di seluruh Malaysia kini adalah seramai lebih 3.27 juta orang dengan nilai simpanan berjumlah lebih RM3.39 bilion.” 

“Selain itu, sebagai inisiatif kami untuk terus menggalakkan orang ramai menyimpan, kami telah memperkenalkan cabutan-cabutan baharu dengan jumlah ganjaran yang lebih lumayan khas untuk para penyimpan BSN SSP pada tahun ini. Ini juga bermakna, lebih banyak peluang dan lebih banyak ganjaran yang boleh dinikmati oleh orang ramai di luar sana. Untuk makluman, tahun ini BSN menawarkan sebanyak 7,384 jumlah hadiah bernilai RM21.96 juta berbanding jumlah keseluruhan hadiah pada tahun 2018 sebanyak RM20 juta. 

Justeru, saya ingin menyeru orang ramai yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian. Kepada anda yang sudah membuat simpanan pula, tambahlah simpanan anda dari semasa ke semasa. Manalah tahu, simpanan anda hari ini dapat membantu anda menjadi salah seorang pemenang cabutan BSN SSP 2019,” tambah beliau lagi. 

Pada tahun ini, BSN masih menawarkan simpanan tunai BSN SSP RM1 juta sebagai ganjaran bagi pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP – Hadiah Bulanan untuk bulan Januari hingga November 2019. Akan tetapi pada bulan Disember 2019 pula, jumlah ganjaran ini akan meningkat dua (2) kali ganda menjadikan jumlah ganjaran bagi pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan Disember adalah sebanyak RM2 juta. Ganjaran RM2 juta ini adalah ganjaran Cabutan Istimewa BSN SSP – Hadiah Utama yang mana ia diperkenalkan buat julung-julung kalinya pada tahun ini. Selain ganjaran-ganjaran tersebut, beberapa lagi ganjaran hebat serta cabutan-cabutan baharu yang lain diperkenalkan khas untuk penyimpan BSN SSP (rujuk lampiran 1 untuk maklumat penuh hadiah cabutan-cabutan BSN SSP 2019). 

Di samping itu, orang ramai juga boleh merebut peluang untuk mendapatkan kadar keuntungan menarik melalui BSN SSP Special Edition (BSN SSP SE).  Selain berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan setiap bulan, para penyimpan BSN SSP turut berpeluang untuk memperolehi kadar keuntungan sehingga 2.5%. Kempen bermula dari 15 Disember 2018 sehingga 31 Mac 2019. 

Ini juga merupakan peluang yang baik kepada orang ramai yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian agar berpeluang memenangi lebih banyak ganjaran lumayan yang ditawarkan oleh BSN melalui BSN SSP. Kepada mereka yang sudah membuat simpanan pula, tambahlah simpanan anda dari semasa ke semasa bagi melayakkan anda menyertai cabutan-cabutan BSN SSP 2019. 

Pada majlis sama, BSN turut mengumumkan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP Januari 2019. Senarai para pemenang boleh disemak di laman web BSN www.mybsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSNMalaysia.

 

- END -


Press Release