Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN LAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT

Sumbang RM650 Ribu Untuk Tabung PPUMCare

 

Petaling Jaya, 28 Januari 2019 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah menyerahkan sumbangan bernilai RM650 ribu kepada Tabung PPUMCare, tabung kebajikan pesakit yang telah ditubuhkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaysa (PPUM) bagi membantu pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. 

Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN telah hadir mewakili BSN menyerahkan sumbangan tersebut kepada YM Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman bin Tunku Zainol Abidin, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya. Turut hadir di majlis berkenaan adalah Encik Jay Khairil Jeremy Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan BSN, pengurusan PPUM dan BSN. 

Bercakap di majlis penyerahan tersebut, Encik Mujibburrahman Abd Rashid,  Ketua Pegawai Perniagaan BSN berkata, “BSN sentiasa menyokong program yang menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat dan sumbangan kepada Tabung PPUMCare ini merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan melalui peruntukan zakat daripada operasi ‘Skim Perbankan Islam’ (SPI) BSN.” 

“Kami di BSN bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kewangan kepada segenap lapisan komuniti malah turut komited untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan; tidak ketinggalan bantuan kepada pesakit yang kurang berkemampuan. Kami sedia maklum bahawa, kos rawatan di hospital menjadi kekangan terhadap sesetengah keluarga terutamanya yang kurang berkemampuan. Justeru, melalui sumbangan yang kami sampaikan (khas untuk pesakit kanak-kanak tidak terhad kepada pesakit di wad pediatrik sahaja) dapat membantu meringankan kekangan kewangan keluarga dalam mendapatkan rawatan yang diperlukan di sini,” ujar beliau lagi. 

Melalui sumbangan kepada Tabung PPUMCare ini, ia membantu pihak PPUM untuk membeli peralatan perubatan, implan pembedahan, ubat-ubatan, membayar bil pesakit, membantu perbelanjaan rawatan serta membayar kos penyelenggaraan peralatan yang disewakan kepada pesakit. 

“PPUMCare memperolehi dana daripada wang yang diterima daripada orang ramai, badan-badan korporat serta saluran-saluran kewangan yang lain. Tahun demi tahun, keperluan pesakit semakin bertambah. Dana ini amat diperlukan bagi menampung perbelanjaan masa kini dan akan datang. Oleh yang demikian, sumbangan dana daripada pihak BSN ini amat besar maknanya kepada kami dalam membantu pesakit-pesakit yang memerlukan,” ujar YM Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman bin Tunku Zainol Abidin, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya. 

Selain penyerahan sumbangan, BSN juga turut mengadakan lawatan ke beberapa wad pediatrik PPUM bersama maskot Kucing Happy BSN.

 

- END -


Press Release