Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

ANUGERAH SGSP BSN

Inisiatif Memperkasa Tabiat Menabung Generasi Muda

 

Putrajaya, 20 Ogos 2018 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini meraikan pemenang-pemenang Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) bagi tahun 2017. Seramai 118 pemenang yang terdiri daripada pelajar dan sekolah yang terbaik dari segi jumlah peningkatan simpanan dan penyertaan ahli SGSP membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000. Sebanyak dua (2) kategori utama dipertandingkan dalam pertandingan SGSP ini iaitu Kategori Individu (Rendah: Bandar & Luar Bandar serta Menengah: Bandar & Luar Bandar), Kategori Sekolah (Keseluruhan: Rendah & Menengah, Peningkatan Deposit Terbaik: Rendah & Menengah, Peningkatan Penyertaan Terbaik: Rendah & Menengah dan AnugerahTabungan Berhemah: Rendah & Menengah). 

Kesemua pemenang utama telah menerima hadiah yang disampaikan oleh  Encik Shaari Osman Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diiringi oleh Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya. Hadir sama di majlis anugerah berkenaan adalah Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN; Lembaga Pengarah BSN, wakil-wakil KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri serta pengurusan BSN yang lain. 

SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar samada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah. Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2017. 

“Sehingga akhir tahun lalu, SGSP telah menerima sambutan penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada para pelajar dan sekolah. Sehingga Disember 2017, lebih 1.12 juta orang pelajar di Malaysia telah menyertai SGSP berbanding hanya 1.02 juta orang pelajar yang menyertainya pada tahun 2016, peningkatan sebanyak 10%. Selain itu, sebanyak 7,836 buah sekolah juga telah menyertai SGSP pada tahun ini. Jumlah ini adalah 77% daripada jumlah keseluruhan 10,180 sekolah  di Malaysia yang menyertai program SGSP. Lebih membanggakan lagi, sejumlah 1,270 daripada angka tersebut merupakan sekolah angkat BSN. 

Sehingga Disember 2017, jumlah baki simpanan para pelajar ini juga telah mencapai sehingga lebih RM566 juta. Ini menjadi bukti akan kejayaan SGSP mencapai sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan dan aktiviti tabungan            di kalangan pelajar,” jelas Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN. 

Pada tahun ini juga, BSN juga telah memperkenalkan kategori baharu bagi anugerah SGSP di mana ia memberi tumpuan sepenuhnya pada Sekolah Angkat BSN. Sebanyak enam (6) kategori dipertandingkan di mana dua (2) orang pemenang daripada setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan mencecah RM59,000. 

“Dengan pengenalan kategori baharu ini diharapkan dapat memberi dorongan dan pembakar semangat untuk sekolah-sekolah di bawah Program Sekolah Angkat BSN melipatgandakan usaha mereka membuat simpanan sekaligus terus memperkasakan lagi sikap menabung di kalangan pelajar,” tambah beliau lagi. 

Dengan penambahan enam (6) kategori ini menjadikan jumlah keseluruhan kategori dan hadiah dipertandingkan bagi SGSP 2018 adalah sebanyak 17 kategori dengan jumlah wang tunai sebanyak RM235,000. 

BSN juga terus memperkasakan lagi sikap menabung di kalangan pelajar dan pihak sekolah melalui program-program lain seperti BSN Educate serta Sekolah Angkat & Buku Wang Saku (BWS) di sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan inisiatif dan produk simpanan BSN, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release