Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN SSP TERUSKAN PENCARIAN JUTAWAN BULAN OKTOBER 2018

Terapkan Amalan Menyimpan Sebagai Satu Kebiasaan

 

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2018 – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) kini meneruskan lagi kempen “Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan” untuk mencari jutawan BSN SSP ke-10 yang bakal membawa pulang RM1 juta sekaligus bergelar jutawan. 

Encik Kameel Abdul Halim, Ketua Pegawai Operasi BSN berkata “Sebenarnya amalan menyimpan wang atau menabung ini telah lama dipraktikkan. Amalan menabung ini terus digalakkan dan diterapkan oleh ibu bapa kita sebagai perkara asas yang biasa dilakukan sejak kita kecil lagi. Kita dilatih dan dididik untuk menyimpan sebahagian daripada wang yang diperolehi demi kebaikan dan jaminan di masa hadapan.” 

“Justeru, bagi terus menggalakkan sifat menabung dan menyimpan, BSN telah memperkenalkan kempen demi kempen dengan memberikan ganjaran yang lebih hebat kepada para penyimpan BSN SSP. Pada tahun ini, BSN telah mempertingkatkan jumlah keseluruhan ganjaran BSN SSP menjadi RM20 juta berbanding jumlah ganjaran keseluruhan pada tahun 2017 iaitu RM17.7 juta. Penawaran ganjaran yang lebih lumayan ini merupakan penghargaan khas BSN kepada para penyimpan setia BSN SSP yang kini telah menjangkau usia 40 tahun penubuhannya di samping untuk terus menggalakkan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda menyimpan,” ujar beliau lagi. 

Selain ganjaran RM1 juta yang memerlukan penyimpan mempunyai jumlah deposit atau baki minimum BSN SSP sebanyak RM3,000 dan ke atas untuk layak menyertai Cabutan Istimewa, turut sama mendapat perhatian adalah Cabutan Bulanan BSN SSP yang menawarkan ganjaran berupa kereta mewah BMW 318i bagi pemenang yang bertuah pada bulan Oktober ini. Para penyimpan perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM10 untuk layak menyertai cabutan tersebut. 

Selain itu, Cabutan Remaja juga diteruskan untuk penyimpan yang berusia 12 hingga 21 tahun. Cabutan Remaja ini meliputi dua kategori hadiah iaitu Hadiah Utama dan Hadiah Sagu Hati. Bagi Hadiah Utama, simpanan minimum adalah sekurang-kurangnya RM1,000 untuk meraih ganjaran BSN SSP RM10,000 di mana seramai tiga (3) orang penyimpan berpeluang untuk memenangi ganjaran lumayan tersebut. Selain itu, bagi Hadiah Sagu Hati pula, ganjaran iPhone 8 ditawarkan untuk tiga (30 orang pemenang yang mempunyai simpanan minimum sebanyak RM50. 

BSN juga meraikan pemenang Cabutan Istimewa bagi bulan September 2018 di majlis Cabutan BSN SSP di Wisma BSN, Jalan Ampang. Mohd Samsul Bahri bin Saad dari Kelantan telah memenangi RM1 juta bagi Cabutan Istimewa, Hazizah bt Seman dari Kelantan telah memenangi kereta BMW 318i bagi Cabutan Bulanan manakala  Nur Syafiqah bt Shaharuddin dari Selangor, Faridah bt Musa dari Kedah/Perlis dan Wan Nor Ainni bt Wan Zainuddin dari Johor telah memenangi BSN SSP RM10,000 bagi Cabutan Remaja – Hadiah Utama. 

Pemenang Cabutan Istimewa, Bulanan dan Remaja BSN SSP bagi bulan Oktober turut diumumkan di majlis tersebut.

Bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu, simpanan BSN SSP boleh dibuat menerusi kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan perbankan internet di myBSN. Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan saluran lain untuk membuat simpanan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM).

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BSN SSP, sila layari www.mybsn.com.my

 

- END -


Press Release