Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

PENCARIAN PEMENANG RM2 JUTA BSN SSP 2019

 

Kuala Lumpur, 23 Februari 2019​ – BSN hari ini meneruskan lagi kempen cabutan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), kali ini menawarkan ganjaran lebih hebat dan lebih lumayan kepada para penyimpan dengan nilai keseluruhan hadiah mencecah RM21.96 juta. Berbanding tahun 2018, BSN telah meningkatkan nilai keseluruhan hadiah bagi kempen BSN SSP sebanyak RM1.96 juta pada tahun ini. Ini adalah bertujuan untuk menghargai para penyimpan setia BSN SSP di samping untuk terus menggalakkan lagi masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda menyimpan. 

"Sebanyak 7,384 jumlah hadiah bernilai RM21.96 juta ditawarkan khas untuk para penyimpan untuk kempen BSN SSP tahun ini. Selain itu, BSN juga turut memperkenalkan buat pertama kalinya ganjaran utama bernilai RM2 juta bagi Cabutan Istimewa BSN SSP bulan Disember 2019 selain cabutan baharu iaitu Cabutan Khas Kesetiaan BSN SSP. Ini bermakna, lebih banyak peluang dan lebih banyak ganjaran yang boleh dinikmati oleh orang ramai di luar sana," ujar YBhg Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.​​​​ 

Cabutan Khas Kesetiaan BSN SSP sebenarnya telah pun diperkenalkan sebelum ini di bawah kempen 'BSN SSP Fabulous 40' sempena sambutan ulang tahun BSN SSP ke-40 tahun. Pada tahun ini, ia diperkenalkan kembali khas untuk penyimpan setia BSN SSP yang telah menyimpan sekurang-kurangnya lima (5) tahun dan ke atas dengan simpanan minimum RM10. Dua (2) orang penyimpan BSN SSP berpeluang memenangi hadiah utama berupa simpanan tunai BSN SSP RM50 ribu setiap seorang. Cabutan ini akan diadakan sebanyak empat (4) kali iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember 2019.​ 

Selain cabutan Kesetiaan, BSN juga turut meneruskan lagi Cabutan Remaja BSN SSP yang kini dikenali sebagai Cabutan Khas Generasi Z BSN SSP. Seperti tahun sebelumnya, Cabutan Khas Generasi Z ini diperkenalkan bagi menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Pada tahun ini, penyimpan muda BSN SSP berpeluang untuk memenangi ganjaran hebat melalui Hadiah Istimewa dan Hadiah Utama yang ditawarkan. Dua (2) orang pemenang Cabutan Khas Generasi Z Hadiah Istimewa bakal memenangi simpanan tunai BSN SSP RM25 ribu setiap seorang manakala tiga (3) orang pemenang Cabutan Khas Generasi Z Hadiah Utama pula bakal memenangi simpanan tunai BSN SSP RM10 ribu setiap seorang.​​​​ 

Untuk menyertainya, penyimpan perlu mempunyai simpanan minimum RM1,000 dan ke atas serta mestilah berumur 12 tahun hingga 21 tahun. Cabutan Khas Generasi Z Hadiah Istimewa diadakan sebanyak empat (4) kali iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember manakala Cabutan Khas Generasi Z Hadiah Utama pula diadakan sepanjang tahun bermula bulan Januari hingga Disember 2019. Para remaja juga berpeluang untuk menerima ganjaran hebat lain melalui Hadiah Sagu Hati yang masih diteruskan pada tahun ini. Para remaja yang ingin menyertai cabutan ini perlu membuat simpanan minimum RM50.​​ 

Pada tahun ini juga, pencarian jutawan BSN SSP masih lagi diteruskan. Buat julung-julung kalinya, pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP berpeluang untuk memenangi Hadiah Utama berjumlah RM2 juta. Hadiah Utama bagi Cabutan Istimewa BSN SSP ini adalah ganjaran yang menanti pemenang bagi bulan Disember 2019. Sementara itu, BSN masih menawarkan simpanan tunai BSN SSP RM1 juta sebagai ganjaran bagi pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP – Hadiah Bulanan untuk bulan Januari hingga November 2019. Para penyimpan perlu mempunyai simpanan minimum sebanyak RM3,000 ke atas untuk layak menyertai cabutan ini yang terbuka kepada penyimpan berumur 12 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, penyimpan perlulah mengekalkan jumlah BSN SSP minimum selama 90 hari untuk layak menyertai cabutan.​ 

Selain ganjaran RM1 juta, para penyimpan juga bakal memandu pulang kereta mewah melalui Cabutan Bulanan BSN SSP iaitu BMW 318i. Penyimpan perlu berumur 12 tahun ke atas dan mempunyai simpanan minimum RM10 dan ke atas untuk menyertai cabutan ini. Rujuk lampiran 1 untuk senarai hadiah BSN SSP 2019.​​​ 

Di samping itu, orang ramai juga boleh merebut peluang untuk mendapatkan kadar keuntungan menarik melalui BSN SSP Special Edition (BSN SSP SE). Selain berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan setiap bulan, para penyimpan BSN SSP turut berpeluang untuk memperolehi kadar keuntungan sehingga 2.5%. Kempen bermula dari 15 Disember 2018 sehingga 31 Mac 2019.​​​ 

Ini merupakan peluang yang baik kepada orang ramai yang masih tidak mempunyai simpanan BSN SSP untuk berbuat demikian agar berpeluang memenangi lebih banyak ganjaran lumayan yang ditawarkan oleh BSN melalui BSN SSP. Kepada mereka yang sudah membuat simpanan pula, tambahlah simpanan anda dari semasa ke semasa bagi melayakkan anda menyertai cabutan-cabutan BSN SSP 2019.​​​​ 

BSN turut mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP Januari 2019 bertempat di Auditorium, Wisma BSN, Jalan Ampang.​​​​​ 

Berikut adalah senarai pemenang BSN SSP Januari 2019:​​​​​​

 

Pemenang Cabutan BSN SSP Januari 2019 

​​Pemenang Cabutan Istimewa (BSN SSP RM1 juta)

- Nama : Noraini binti Surif

​- Negeri : Johor​

 

Pemenang Cabutan Bulanan (BMW 318i)​

- Nama : Mohd Shakri bin Abd Ghani​

​- Negeri : Kuala Lumpur​​

 

Pemenang Cabutan Khas Generasi Z BSN SSP

(Hadiah Bulanan - BSN SSP RM10, 000)

 

Pertama​​

- Nama : Soo Mei Chen

​- Negeri : Kelantan​

 

Kedua​​​

- Nama : Nor Adilah binti Mohamad Zaimin​

​- Negeri : Perak​​​

 

Ketiga

- Nama : Muhammad Amin Amzar bin Anuar​

​- Negeri : Perak​​​​​ 

Pada majlis sama, BSN turut mengumumkan pemenang-pemenang Cabutan BSN SSP bagi bulan Februari 2019. Senarai para pemenang boleh disemak di laman web BSN ​www.mybsn.com.my​ atau laman Facebook BSN @ BSN Malaysia.​​​​​​

 

- END -


Press Release