Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

'MICRO FINANCE ENTREPRENEURS (MFE) ANALYTICS PILOT PROJECT'

Program usahasama di antara BSN dan UiTM bagi membantu peniaga BSN Micro/i dalam perisian perakaunan

 

Bangi, 16 Mac 2019 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah menganjurkan Program 'Micro Finance Entrepreneurs (MFE) Analytics Pilot Project' yang merupakan program usahasama di antara BSN dan UiTM. Program ini diadakan bagi membantu memberi latihan dan khidmat nasihat kepada pelanggan-pelanggan BSN Micro/i dalam pengurusan perakaunan perniagaan mereka. BSN sejak dari dahulu lagi telah melaksanakan pelbagai mandat Kerajaan bagi menggalakkan perkembangan simpanan dan pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat. Program usahasama bersama pihak UiTM ini adalah antara usaha berterusan pihak BSN dalam melaksanakan mandat tersebut selari dengan arus pembangunan yang kian meningkat serta serba moden. 

Melalui program ini, pihak UiTM melalui Fakulti Perakaunan, Shah Alam telah membantu dalam membangunkan perisian perakaunan 'SPS Lite' dengan kerjasama firma perakaunan SALIHIN. Perisian perakaunan ini dicipta khas untuk pelanggan BSN Micro/i bagi membantu mereka memantau aktiviti kewangan syarikat dan secara tidak langsung meningkatkan perniagaan mereka agar lebih berdaya saing dan kompeten.​​​ 

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid berkata, "Seramai 100 pelanggan BSN Micro/i telah terpilih mengikuti program 'MFE Analytics Pilot Project' yang berlangsung selama enam (6) bulan. Sepanjang tempoh program diadakan, para pelanggan BSN Micro/i berpeluang mempelajari perisian perakaunan daripada para pelajar serta pensyarah Fakulti Perakaunan, UiTM dalam membantu memberikan tunjuk ajar dalam menggunakan perisian perakaunan di mana secara tidak langsung bakal membantu pengurusan perniagaan mereka agar lebih sistematik dan teratur". 

"Melalui program 'MFE Analytic Pilot Project', para pelanggan Micro/i dapat merekodkan maklumat perniagaan mereka dengan lebih tepat, membina rekod transaksi perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik. Selain itu, mereka juga dapat mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat serta mengawal kos dan perbelanjaan perniagaan serta mengawal aliran tunai perniagaan, jumlah pendapatan dan perbelanjaan perniagaan secara harian, mingguan dan juga bulanan. Secara tidak langsung, ianya turut memudahkan para pelanggan Micro/i untuk membuat pembayaran cukai atau zakat serta berpeluang untuk mengenal pasti punca kemerosotan serta mengelakkan penyelewangan di syarikat mereka melalui perisian perakaunan terbabit", tambah beliau lagi.​​ 

Perisian perakaunan ini juga diberikan secara percuma selama setahun kepada pelanggan BSN Micro/i yang terpilih. Para pelanggan BSN Micro/i akan diajar untuk mengunci masuk maklumat rekod transaksi perniagaan seperti Jualan, Belian, Gaji Pekerja dan lain-lain rekod perniagaan ke dalam perisian perakaunan 'SPS Lite'.​ 

Program ini dapat memberi motivasi dalam membimbing pelanggan BSN Micro/i mencapai objektif utama dalam memberikan hasil serta keuntungan dari perniagaan mereka melalui sistem perisian yang dicipta khas oleh pelajar perakaunan dari UiTM, Shah Alam. BSN berharap selain dari memberikan pembiayaan kewangan kepada usahawan mikro, program seperti ini dapat menjadi titik tolak bagi pembangunan perniagaan perusahaan mikro selari dengan visi BSN dalam memberi rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik.

 

- END -


Press Release