Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

​ANUGERAH SGSP BSN

206 Pemenang Terima Ganjaran Berjumlah RM295,900

 

Putrajaya, 28 Mac 2019 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini meraikan pemenang-pemenang Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) bagi tahun 2018. Seramai 206 pemenang yang terdiri daripada pelajar dan sekolah yang terbaik dari segi jumlah peningkatan simpanan dan penyertaan ahli SGSP membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM295,400. Sebanyak dua (2) kategori utama dipertandingkan dalam pertandingan SGSP ini iaitu Kategori Individu dan Kategori Sekolah (rujuk lampiran 1 untuk senarai penuh kategori). 

YKesemua pemenang utama telah menerima hadiah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia diiringi oleh Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN. Hadir sama di majlis anugerah berkenaan adalah Pengarah-pengarah dan wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia; Lembaga Pengarah BSN, wakil-wakil KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri serta pengurusan BSN yang lain.​ 

SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar samada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah. Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018. 

"Sehingga akhir tahun lalu, SGSP telah menerima sambutan penyertaan yang cukup memberangsangkan daripada para pelajar dan sekolah. Selain itu, sebanyak lebih 8,000 buah sekolah juga telah menyertai SGSP pada tahun ini. Jumlah ini adalah 79% daripada jumlah keseluruhan 10,180 sekolah di Malaysia yang menyertai program SGSP. Lebih membanggakan lagi, sejumlah 1,270 daripada angka tersebut merupakan sekolah angkat BSN. ​​ 

Sehingga Disember 2018, jumlah baki simpanan para pelajar ini juga telah mencapai sehingga lebih RM 410 juta. Ini menjadi bukti akan kejayaan SGSP mencapai sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan dan aktiviti tabungan di kalangan pelajar," jelas Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.​ 

Pada tahun ini juga, bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan disambut pada bulan Mei 2019, BSN berhasrat untuk menaja Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2019. Penajaan anugerah ini adalah antara inisiatif berterusan pihak BSN bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia bagi meraikan jasa para pendidik yang tidak mengenal erti penat jemu mendidik anak bangsa. Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2019 akan dibahagikan kepada dua (2) kategori utama iaitu Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan. Selain dua (2) kategori utama tersebut, BSN juga berhasrat untuk berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan dalam beberapa kategori lain di bawah Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2019. 

"Semoga dengan penajaan kedua-dua anugerah ini dapat menjadi motivasi dan perangsang kepada para guru untuk terus mencurahkan bakti demi anak bangsa selain dapat melahirkan murid-murid berkualiti dan berkaliber yang dapat menjadi tonggak untuk masa hadapan negara," tambah beliau lagi. 

BSN juga terus memperkasakan lagi sikap menabung di kalangan pelajar dan pihak sekolah melalui program-program lain seperti BSN Educate serta Sekolah Angkat & Buku Wang Saku (BWS) di sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia.

 

- END -


Press Release