Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN LAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT​​

Sumbang Peralatan Rawatan Air Bersih Kepada Komuniti Orang Asli​​

 

Gua Musang, 2 April 2019​​ - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah melaksanakan satu lagi inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya demi membantu para pelanggan yang memerlukan bantuan, kali ini bersama komuniti orang asli di Kampung Lambok, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan. 

BSN telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM68,000​ bagi pemasangan peralatan rawatan air bersih di Kampung Lambok di mana kerja-kerja pemasangannya telah dibantu oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan Terengganu, Pasukan Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) Response and Relief Team (IMARET) dengan jalinan kerjasama Yayasan Al-Khalifah.​​​ 

Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN telah hadir mewakili BSN menyerahkan sumbangan tersebut kepada Encik Hashim Bin Alang Abdul Hamid, Pengarah JAKOA Kelantan Terengganu diiringi oleh wakil Kampung Lambok. Turut hadir di majlis berkenaan adalah Encik Komarudin Bin Mustapha, Pengarah Negeri BSN Kelantan; Dr. Jamali Bin Wagiman, Naib Presiden Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) serta kakitangan BSN yang lain.​​ 

Bercakap di majlis penyerahan tersebut, Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN berkata, “BSN sentiasa menyokong program yang menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat dan sumbangan peralatan rawatan air bersih kepada komuniti orang asli di Kampung Lambok, Kelantan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan melalui peruntukan zakat daripada operasi ‘Skim Perbankan Islam’ (SPI) BSN.”​​​ 

“Kami di BSN bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kewangan kepada segenap lapisan komuniti malah turut komited untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan; tidak ketinggalan juga bantuan kepada komuniti orang asli. Kami sedia maklum bahawa, kemudahan bekalan air bersih atau kemudahan-kemudahan lain seperti bekalan elektrik dan sebagainya mudah untuk didapati oleh penduduk-penduduk di ibu kota. Akan tetapi bagi penduduk-penduduk di pinggir bandar dan kawasan pedalaman, ia adalah sesuatu yang sukar dan sering menjadi kekangan buat mereka. Ini sedikit sebanyak menyukarkan urusan asas penduduk-penduduk di sini. Justeru, melalui sumbangan yang kami sampaikan ini diharapkan dapat membantu memudahkan kegunaan harian para penduduk,” ujar beliau lagi.​ 

Selain menyampaikan sumbangan peralatan rawatan air bersih, BSN juga turut sama menghulurkan sumbangan berjumlah RM300 (wang tunai RM200 dan barangan dapur bernilai RM100) kepada 40 orang penduduk Kampung Lambok yang terdiri daripada asnaf dan muallaf di majlis tersebut. ​

 

- END -


Press Release