Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

BSN TANDATANGANI PERJANJIAN BERSAMA UiTM

Laksana 'Micro Finance Entrepreneurs (MFE) Analytics Pilot Project'

 

Shah Alam, 21 Jun 2019 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengumumkan jalinan kerjasamanya bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui memorandum perjanjian 'Micro Finance Entrepreneurs (MFE) Analytics Pilot Project'. Di bawah perjanjian tersebut, BSN dan UiTM akan bekerjasama untuk menambah baik pengurusan perakaunan pelanggan-pelanggan BSN Micro/i. Dengan program ini, pihak UiTM melalui penglibatan para pensyarah dan pelajar Fakulti Perakaunan, Puncak Alam akan menggunapakai perisian perakaunan 'SPS Lite' yang dibangunkan khas oleh firma perakaunan SALIHIN. Perisian perakaunan ini dapat membantu pelanggan-pelanggan BSN Micro/i memantau aktiviti kewangan perniagaan dan secara tidak langsung meningkatkan perniagaan mereka agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam pengurusan kewangan. 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN dan disaksikan oleh Yang Berusaha Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN. Bagi pihak UiTM pula, perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Yang Berbahagia Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai bin Kasim, Naib Canselor UiTM dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Hjh. Faizah Darus, Dekan Fakulti Perakaunan UiTM.​ 

Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN berkata, "MFE Analytics Pilot Project ini telahpun berlangsung selama enam (6) bulan bermula pada April 2019 yang lalu dan akan berakhir pada Oktober 2019. Sepanjang tempoh program diadakan, para pelanggan BSN Micro/i diberi peluang untuk mempelajari dan mengguna pakai perisian perakaunan 'SPS Lite'. Para pelanggan BSN Micro/i akan diberikan pendedahan cara perekodan transaksi perniagaan seperti jualan, belian, gaji pekerja dan lain-lain rekod perniagaan."​​ 

"Melalui program MFE Analytic Pilot Project, para pelanggan Micro/i dapat mengakses maklumat perniagaan mereka dan melihat rekod transaksi perniagaan. Data yang ada lebih teratur dan sistematik. Ini diharapkan dapat membantu mereka yang terlibat menguruskan urusan kewangan dan perniagaan mereka dengan lebih cekap dan berkesan.​​ 

Dengan maklumat kewangan yang ada, mereka dapat mengenal pasti kedudukan kewangan perniagaan, mengawal kos dan perbelanjaan perniagaan, mengawal aliran tunai perniagaan, jumlah pendapatan dan perbelanjaan perniagaan secara harian, mingguan serta juga bulanan. Ini secara tidak langsung, turut memudahkan para pelanggan Micro/i untuk membuat pembayaran pinjaman, cukai atau zakat serta berpeluang untuk mengenal pasti punca kemerosotan perniagaan serta mampu mengelakkan penyelewangan kewangan dalam perniagaan mereka," tambah beliau lagi.​ 

Perisian perakaunan ini diberikan secara percuma selama setahun kepada pelanggan BSN Micro/i yang terpilih. Program ini juga diharap dapat memotivasi dan membimbing pelanggan BSN Micro/i untuk mencapai sasaran keuntungan dari perniagaan mereka. BSN sedia maklum berkenaan isu-isu yang sering melanda para usahawan mikro dalam menguruskan perakaunan dan perniagaan mereka secara keseluruhannya. Justeru, melalui usahasama program MFE ini, BSN berharap dapat membantu membangunkan perniagaan perusahaan mikro para usahawan selain daripada memberikan pembiayaan kewangan kepada mereka. Selain itu juga, BSN turut mengharapkan agar jalinan kerjasama ini juga dapat menjadi titik tolak untuk menyumbang ke arah mewujudkan generasi muda yang lebih inovatif dan kreatif serta berupaya menguasai pelbagai teknologi canggih. 

"BSN sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai mandat Kerajaan, dan ia merangkumi usaha menggalakkan perkembangan simpanan dan pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat. Program usahasama bersama pihak UiTM ini adalah antara usaha berterusan pihak BSN dalam melaksanakan mandat tersebut selari dengan arus pembangunan yang kian pesat membangun serta serba moden. 

Melalui kerjasama ini juga, UiTM melihat ia dapat meningkatkan kemahiran para pensyarah dan pelajar dalam bidang masing-masing. Sebagai contoh, para pensyarah dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam menterjemah apa yang diajar di dalam bilik kuliah kepada transaksi sebenar perniagaan. Inisiatif ini selari dengan aspirasi UiTM untuk menggalakkan penglibatan pensyarah dalam bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perundingan yang mampu meningkatkan kualiti mereka, sekaligus memberi manfaat kepada industri dan komuniti," menurut Yang Berbahagia Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai bin Kasim, Naib Canselor UiTM. 

"Selain itu, ia juga diharap dapat membantu mereka menghasilkan produk penyelidikan yang boleh dikomersilkan. Bagi para pelajar, ini merupakan peluang untuk mereka mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di dalam bilik kuliah sebelum ini, dengan menggunakan data perniagaan yang sebenar. Pengalaman ini sangat berharga bagi semua yang terlibat dan ia selaras dengan 'program 3u1i' yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan. 

Selaras dengan pembangunan sumber manusia Negara yang kini tertumpu ke arah melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia, berkaliber, berkemahiran tinggi dan kompetitif; kerjasama antara UiTM dan BSN ini merupakan satu pendekatan yang berpotensi menyumbang ke arah mewujudkan budaya berinovasi dan kreatif bukan sahaja di BSN, tetapi juga di kalangan pelajar-pelajar institusi-institusi pengajian tinggi khususnya di UiTM," ujar beliau lagi.

 

- END -


Press Release