Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

SARAWAK PAY – BSN FINTECH REACHING THE RURAL COMMUNITY​

Menyokong Rangkuman Kewangan & Pembangunan Ekonomi Digital di Sarawak​​

 

BINTULU, 21 Julai 2019​ – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengumumkan jalinan kerjasamanya bersama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan pelancaran Sarawak Pay, sebuah aplikasi e-Wallet yang membantu para pelanggan melakukan transaksi tanpa tunai melalui telefon pintar. Majlis tersebut telah diadakan di Sebauh, Bintulu sempena sambutan Hari Sarawak 2019. 

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak telah hadir merasmikan majlis tersebut diiringi oleh Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN bersama Dr Zaidi bin Razak, Pengurus Besar SMA.​​ 

Diperkenalkan oleh SMA dan disokong oleh BSN, Sarawak Pay merupakan visi Ketua Menteri Sarawak untuk menyalurkan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat luar bandar. Melalui kerjasama ini, pelanggan kini dapat melakukan transaksi pembayaran bil atau pembelian melalui telefon bimbit mereka. Apa yang perlu mereka lakukan adalah dengan mengunjungi mana-mana 424 Ejen Bank BSN (EB BSN) di seluruh Sarawak untuk menambah nilai wang ke dalam akaun Sarawak Pay mereka. Pelanggan perlu memuat turun aplikasi Sarawak Pay, kemudian masukkan nombor telefon mudah alih dan jumlah wang. Resit akan dikeluarkan oleh P.O.S terminal EB BSN selepas transaksi tambah nilai selesai.​ 

Pelanggan juga boleh melakukan transaksi pengeluaran melalui aplikasi Sarawak Pay. Hanya bawa kad pengenalan (IC) di mana-mana EB BSN, masukkan IC di terminal yang disediakan, sahkan biometrik (cap jari), masukkan nombor telefon mudah alih dan jumlah wang. Terminal EB BSN P.O.S akan mengeluarkan resit apabila transaksi pengeluaran telah selesai. Para pelanggan juga boleh menyemak baki akaun mereka melalui aplikasi Sarawak Pay.​​​ 

"Pelancaran Sarawak Pay – BSN Fintech Reaching the Rural Community oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak pada hari ini, telah mencatatkan satu lagi peristiwa penting bagi Kerajaan Sarawak untuk menyediakan perkhidmatan kewangan di kawasan luar bandar di mana akses perbankan adalah terhad," kata Dr Zaidi bin Razak, Pengurus Besar SMA.​​​ 

Di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2025 (e-Commerce: Action 25), Kerajaan Negeri melalui SMA adalah untuk mewujudkan satu platform Fintech seperti Sarawak Pay yang menyediakan alat bantuan perniagaan canggih bagi perniaga dan usahawan mendapatkan lebih akses perkhidmatan kewangan dalam melaksanakan dan mengembangkan perniagaan mereka.​ 

"Kami mempunyai 424 Ejen Bank BSN (EB BSN) di seluruh Sarawak di mana transaksi yang dicatatkan oleh EB BSN kami pada bulan Jun 2019 adalah 1,035,624 berjumlah RM66,720,163.58. Kami adalah yang pertama untuk bekerjasama dengan SMA untuk menyediakan perkhidmatan e-Wallet kepada Komuniti di Sarawak ini,” kata Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.​

"Adalah menjadi misi kami di BSN untuk menyatukan semua rakyat dalam inisiatif kami sejajar dengan visi – ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’. Kami sentiasa komited untuk menyediakan platform perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses untuk pelanggan kami. Ini bukan sahaja merupakan sebahagian daripada mandat tetapi juga usaha berterusan pihak BSN untuk memastikan rangkuman kewangan diperkukuhkan di kalangan rakyat Malaysia. Kami komited dalam menyediakan setiap rakyat Malaysia peluang yang sama untuk menikmati kehidupan yang lebih baik serta terus meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia seiring dengan janji jenama kami,” tambah Datuk Yunos lagi.​

Fasa pertama kolaborasi ini membolehkan pelanggan melakukan transaksi penambahan dan pengeluaran wang dari Sarawak Pay melalui EB BSN. Aplikasi ini akan dipertingkatkan lagi dalam fasa seterusnya dengan penambahan lebih banyak perkhidmatan lain seperti pembiayaan mikro, bantuan kebajikan dan banyak lagi.​

Majlis sambutan Hari Sarawak 2019 bermula pada 19 Julai 2019 dan akan berakhir pada 22 Julai 2019. Pelbagai aktiviti dan acara menarik seperti Pertunjukan Bakat, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah diadakan untuk orang ramai.​

 

- END -


Press Release