Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN TERUS PERKUKUHKAN RANGKUMAN KEWANGAN RAKYAT MALAYSIA​​

 

KUALA LUMPUR, 26 September 2019 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini terus memperkasakan mandat kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses perbankan yang menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Untuk merealisasikannya, BSN memanfaatkan kepakaran dan pengalaman rangkuman kewangannya dengan disokong oleh 390 cawangan, 728 Mesin Teler Automatik (ATM), 397 Mesin Deposit Wang Tunai (CDM), dan lebih 4,500 Ejen Bank Berdaftar BSN atau EB BSN di seluruh negara. Melalui perkhidmatan Ejen Bank BSN (EB BSN) yang mula diperkenalkan pada tahun 2012, BSN kini telah menyalurkan perkhidmatan perbankan meliputi 97% daripada keseluruhan 886 mukim di Malaysia. Ia sekaligus menjadikan BSN satu-satunya bank yang memberi tumpuan dan akses perbankan secara menyeluruh kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar dalam usaha membantu kerajaan mencapai status negara maju. EB BSN beroperasi di seluruh Malaysia di mana 64% ejen adalah di lokasi luar bandar dan 36% di lokasi bandar.

Selain menawarkan akses perbankan yang menyeluruh, BSN terus komited melaksanakan mandat yang telah dipertanggungjawabkan melalui pembiayaan mikro kepada para usahawan industri kecil & sederhana di negara ini. Melalui sumber dari Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga Jun 2019, BSN merupakan peneraju pegangan pasaran bagi skim pembiayaan mikro di Malaysia iaitu sebanyak 41.8% berbanding 10 institusi perbankan yang lain. Sejak mula diperkenakan pada tahun 2007, pembiayaan mikro BSN telah berkembang dengan baik apabila berjaya membiayai lebih 64,000 pelanggan sehingga Jun 2019 dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.7 bilion berbanding 320 pelanggan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5 juta pada tahun pertama diperkenalkan. Sebanyak 38 Pusat Mikro Kewangan BSN di seluruh negara sentiasa bersiap sedia untuk membantu dan menawarkan khidmat nasihat kepada para usahawan yang ingin mendapatkan pembiayaan.

Antara bantuan yang telah dilaksanakan oleh BSN adalah mewujudkan sistem perakaunan seperti program “Micro Finance Entrepreneur (MFE) Analytics Pilot Project” bersama UiTM untuk memberi solusi perakaunan kepada usahawan mikro yang terpilih, program Pembangunan INSKEN – latihan teknikal perniagaan, lawatan tapak dan penilaian tahunan terhadap semua pelanggan Mikro Kewangan BSN, menghantar pelanggan yang terpilih menyertai expo, ceramah, forum, Karnival Kewangan dan sebagainya bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pemasaran.

"Adalah menjadi misi kami di BSN untuk menyatukan semua rakyat dalam inisiatif kami sejajar dengan visi – ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’. Kami sentiasa komited untuk menyediakan platform perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses untuk pelanggan kami. Ini bukan sahaja merupakan sebahagian daripada mandat tetapi juga usaha berterusan pihak BSN untuk memastikan rangkuman kewangan diperkukuhkan di kalangan rakyat Malaysia. Kami komited dalam menyediakan setiap rakyat Malaysia peluang yang sama untuk menikmati kehidupan yang lebih baik serta terus meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia seiring dengan janji jenama kami,” ujar Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.​​

Selain memperkasakan rangkuman kewangan rakyat Malaysia, BSN turut sama memperkukuhkan pencapaian kewangannya melalui pelan-pelan strategik yang diatur kemas agar terus bersaing selari dengan peneraju industri kewangan negara. BSN mencatatkan prestasi kewangan yang memberansangkan bagi separuh pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2019. BSN telah mencapai keuntungan selepas cukai dan zakat tidak beraudit sebanyak RM133.8 juta, peningkatan sebanyak 119.7% berbanding RM60.9 juta pada separuh pertama tahun 2018.

Pertumbuhan positif ini diraih melalui pendapatan yang meningkat sebanyak 14.5% kepada RM1,037.9 juta berbanding RM906.7 juta pada separuh pertama bagi tahun 2018. Peningkatan ini disumbang melalui kenaikan pembiayaan sebanyak 11.2% terutamanya bagi segmen Pembiayaan Peribadi yang masih mengekalkan kedudukannya selaku peneraju dalam pinjaman dan juga portfolio pendahuluan. Pembiayaan Peribadi telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.8% manakala untuk Pembiayaan Perumahan pula telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.0%.

Selain itu, deposit BSN juga mencatatkan peningkatan sebanyak 9.8% melalui pelbagai kempen dan inisiatif telah dijalankan oleh BSN melalui produk–produk simpanannya iaitu Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) dan BSN Smart Junior (BSJ). Ianya adalah selari dengan mandat BSN sekaligus mendorong warga penyimpan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya di kalangan golongan muda.

“Pencapaian yang positif ini adalah bukti bahawa strategi dan pendekatan yang tepat telah dilakukan oleh BSN untuk kekal dalam sektor kewangan di Malaysia. Sebagai sebuah Bank yang menggalas dwi peranan, BSN fokus untuk terus mengimbangi kepentingan komuniti dan menjana keuntungan bagi memantapkan kedudukan kewangan kami. Secara tidak langsung, peranan dan tanggungjawab yang telah dimandatkan oleh kerajaan juga tetap akan terus kami perkasakan dari semasa ke semasa seiring dengan pelbagai inisiatif dan pelan rangkuman kewangan untuk menyediakan akses perbankan yang berkualiti dan lebih menyeluruh bagi segenap lapisan komuniti di Malaysia,” ujar Datuk Yunos lagi.

Antara lain, BSN masih mengekalkan Net Interest Margin (NIM) yang sihat sementara Expected Credit Losses (ECL) terus bertambah baik. Non-Performance Loans (NPL) bagi BSN juga menurun kepada 1.53% daripada 1.60% setahun yang lalu.

Pulangan atas Ekuiti (ROE) juga meningkat kepada 11.28% daripada 8.86% tahun lalu, manakala Risk Weighted Capital Ratio (RWCR) berada pada 16.38% berbanding 14.48% pada 30 Jun 2018. Liquidity Coverage Ratio (LCR) juga telah mencatatkan perkembangan positif iaitu sebanyak 111.22% dan nisbah kecairan pengawalseliaan yang lain tetap sihat bagi menyokong strategi dan inisiatif Bank di masa hadapan.

 

- END -


Press Release