Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

KONSERT DIRAJA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2019​​

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menganjurkan Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2019 pada 29 September 2019. Konsert ini melambangkan penghargaan dan tanda taat setia warga KPM terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.​

Melalui kerjasama ini, BSKK dan BSN dapat menyediakan sebuah lagi platform kepada generasi muda untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka dalam seni persembahan yang merangkumi seni muzik, tarian, teater dan seni visual. Ini juga merupakan salah satu cabang pendidikan di mana bakat yang ada amat penting bagi masa depan mereka. BSN sentiasa memberi sokongan yang padu bagi memastikan industri pendidikan negara sentiasa rancak dengan inisiatif yang terus memanfaatkan para pelajar tidak kira dalam apa bidang jua pun untuk masa depan mereka yang lebih cemerlang.​

Konsep Persembahan Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2019 akan menggabungkan secara harmonis elemen-elemen muzik tradisional dengan muzik kontemporari serantau dan dunia, permainan alat muzik tradisional dengan alat muzik moden, alunan muzik instrumental dan nyanyian, mempamerkan bakat murid dengan rentak bunyi setempat, suara rasa serantau dan citarasa semasa. Sebahagian lagu yang dipersembahkan juga telah diatur semula dan diberi nafas baharu bagi mendapatkan kesan atau impak yang benar-benar berkualiti serta menjalinkan rasa persaudaraan dalam kalangan ahli muzik. Konsert ini akan dijayakan oleh seramai 127 orang murid dan guru sekolah dari seluruh negara.​​

Persediaan konsert ini telah bermula pada Julai 2019 yang lalu melalui sesi pemilihan, pembengkelan dan beberapa siri latihan sebelum ia dipentaskan pada 29 September 2019 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Antara mereka yang akan menjayakan konsert pada kali ini ialah Kiki (Mohd Fikri Izudin), artis ceria pop star dan pelakon, Nana (Nurul Maimanah) artis astro dan ceria pop star serta penampilan khas Aida Jebat dan Hail Huzaini.​​

Konsert ini telah mula diperkenalkan pada tahun 1997 sebagai tanda menjunjung kasih warga Kementerian kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Konsert ini diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur dan beridentiti.

 

- END -


Press Release