Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN LANCAR KAD KREDIT JENAMA BERSAMA ​G-CARD VISA BSN & MAKSAK​​

Kad kredit khas untuk semua penjawat awam​ ​​​

 

Putrajaya, 12 September 2019​ – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah melancarkan kad kredit terbaharu di bawah kerjasama strategik antara BSN dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) iaitu Kad Kredit BSN G-Card Visa. Kad kredit jenama bersama BSN dan MAKSAK ini diperkenalkan khas untuk semua penjawat awam Malaysia.​

Majlis pelancaran Kad Kredit BSN G-Card Visa ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ismail bin Haji Bakar, Ketua Setiausaha Negara merangkap Yang Dipertua MAKSAK Malaysia bersempena dengan Majlis Malam Anugerah MAKSAK 2018 bertempat di Dewan Puspanitapuri, Putrajaya. Turut sama hadir mengiringi Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara di majlis pelancaran tersebut adalah Yang Berbahagia Dato' Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan merangkap Naib Yang Dipertua MAKSAK Malaysia; Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN dan Encik Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia.​​​​

Merupakan satu-satunya kad kredit di Malaysia yang dikeluarkan oleh BSN untuk penjawat awam, kad unik ini lengkap dengan keistimewaan eksklusif dengan caj kewangan paling rendah iaitu sebanyak 8.88%​ setahun (jika dibanding dengan pasaran, kadar yang dikenakan adalah sehingga 18% setahun). BSN menyediakan kedua-dua kad Islamik atau kad konvensional sebagai pilihan. ​​​

Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN berkata, “Pelancaran Kad Kredit BSN G-Card Visa bertujuan untuk menghargai sumbangan dan perkhidmatan penjawat awam dengan menawarkan caj kewangan paling rendah di samping lain-lain keistimewaan dan ganjaran-ganjaran menarik. Dengan kadar yang rendah ini, penjawat awam dapat menggunakan kad kredit secara berhemah sambil menikmati penjimatan ke atas bayaran kadar faedah berbanding kad kredit yang lain.”​​​​​

“Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan BSN untuk melancarkan kad kredit BSN G-Card Visa. Tambahan lagi, kad kredit ini membolehkan rakyat Malaysia menikmati manfaat daripada pembayaran tanpa sentuh “Contactless”. Dengan lebih banyak produk kad tanpa sentuh dikeluarkan, lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat daripada pembayaran tanpa gesekan “Frictionless payments”​ sekaligus menggalakkan transaksi tanpa tunai," ujar Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia.

Terdahulu, BSN telah mengadakan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Kad Kredit Jenama Bersama G-Card Visa BSN & MAKSAK pada Mesyuarat Agung Tahunan MAKSAK kali ke-63 yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Datuk Yunos Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif BSN dan disaksikan oleh Encik Mujibburrahman Abd Rashid. Bagi pihak MAKSAK pula, perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ismail bin Haji Bakar dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad.​

 

- END -


Press Release