Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

​BSN TANDATANGANI PERJANJIAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA MAAB

Tingkatkan kesedaran tentang kepentingan penulisan wasiat asas di kalangan pelanggan BSN​​​

 

Kuala Lumpur, 5 Ogos 2019​ - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengumumkan jalinan kerjasamanya bersama MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) melalui ‘Perjanjian Kerjasama Strategik - Penulisan Wasiat Asas’ kepada semua pelanggan BSN. Melalui kerjasama strategik ini, BSN dan MAAB bekerjasama untuk mempertingkatkan kesedaran tentang kepentingan penulisan wasiat sekaligus membantu memudahkan urusan pewarisan dan pengagihan harta kepada keluarga waris.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN dan disaksikan oleh Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN. Bagi pihak MAAB pula, perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Tuan Haji Abdullah Bin Muhamad, Lembaga Pengarah MAAB dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Saruji Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MAAB.​

Seawal tahun 2018, BSN telah mula memasarkan produk penulisan wasiat sebagai antara variasi perkhidmatan perbankan yang ditawarkan kepada para pelanggan BSN. Pada awal tahun ini, BSN telah memperluaskan lagi perkhidmatan ini melalui jalinan kerjasama strategik bersama Syarikat Penulisan Wasiat seperti MAAB yang merupakan Syarikat Penulisan Wasiat Pertama menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat melalui platform digital. Penulisan wasiat melalui kaedah terkini ini membolehkan para pelanggan bukan sahaja mengakses dan mengemas kini maklumat, malah turut boleh merubah kandungan wasiat mereka pada bila-bila masa secara percuma.

Yang Berbahagia Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN yang hadir pada majlis tersebut berkata, “Sebagai sebuah Bank yang mementingkan kepuasan para pelanggannya, penawaran produk penulisan wasiat ini sememangnya memberi manfaat yang besar kepada para pelanggan BSN kerana semuanya boleh dilaksanakan secara atas talian; dari mengakses dan mengemas kini maklumat hinggalah merubah kandungan wasiat mereka yang kini boleh dilakukan pada bila-bila masa secara percuma (kebiasaannya pindaan kandungan wasiat dikenakan caj). Selain itu, fi (fee) perkhidmatan yang dikenakan bagi produk ini juga adalah berpatutan. Inilah kelainan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSN dan MAAB berbanding syarikat pengamanahan yang lain. Para pelanggan kami boleh berkunjung ke 390 cawangan kami di seluruh Malaysia atau layari laman sesawang kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini.” ​​

Selain itu, Tuan Haji Abdullah Bin Muhamad, Lembaga Pengarah MAAB juga turut berkata, “Misi dan visi MAAB adalah untuk menjadi pengurusan amanah dan pusaka berprestasi serta fokus kepada perkhidmatan pengguna menerusi rangka pengamanahan dan pengurusan pusaka yang dinamik. Atas dasar itulah, kami memperkenalkan kaedah penulisan wasiat terkini – secara atas talian bagi membantu para pelanggan BSN menjalankan urusan wasiat mereka secara lebih mudah dan efisien sekaligus mempercepatkan proses pengurusan pentadbiran harta pusaka kepada waris-waris kelak.”

 

- END -


Press Release