Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

​MAJLIS PELANCARAN SISTEM PENGURUSAN PEMBIAYAAN (LMS) DAN PEMETERAIAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DI ANTARA LEMBAGA PEMBIAYAAN PERUMAHAN SEKTOR AWAM (LPPSA), BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (BANK ISLAM) DAN BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN)​

 

Putrajaya, 2 Ogos 2019​ - Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Pembiayaan (LMS) dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya hari ini.​

Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Pembiayaan (LMS) ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah.​​

LMS adalah sistem yang telah dibangunkan bagi memudahkan urusan pelanggan LPPSA yang terdiri daripada kakitangan sektor awam di seluruh Malaysia untuk membuat permohonan pembiayaan perumahan sektor awam secara atas talian dengan lebih mudah dan efektif. Mula beroperasi pada 1 April 2019, LMS memudahkan para pelanggan untuk membuat permohonan, menyemak maklumat pembiayaan seperti memuat turun penyata tahunan, semakan status baki, semakan status bayaran pembiayaan dan juga beberapa perkhidmatan lain.​​

Ciri-ciri sekuriti yang tinggi seperti kemudahan OTP atau “one time password” memastikan integriti maklumat setiap peminjam terjamin selain akses hanya diberikan kepada pemilik akaun sahaja. Dengan adanya LMS ini, LPPSA berharap ia akan membantu memudahkan urusan permohonan pembiayaan dan juga pemantauan pembiayaan sendiri oleh para penjawat awam semudah di hujung jari.​​

“Ini merupakan satu langkah kehadapan untuk LPPSA bagi memartabatkan pengurusan pembiayaan perumahan untuk penjawat awam, di mana penjawat awam tidak perlu lagi hadir ke kaunter perkhidmatan atau membuat panggilan telefon bagi memantau akaun pembiayaan sendiri,” kata Dato’ Kamal Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA.​

Pada masa yang sama, pemeteraian MOU di antara LPPSA dan dua (2) institusi kewangan terkemuka; Bank Islam dan BSN membolehkan kakitangan sektor awam memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Islam atau BSN yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza.​​

LPPSA yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Kamal Bin Mohd Ali telah memeterai MOU bersama BSN yang diwakili oleh Ketua Eksekutif, YBhg. Datuk Yunos Abd Ghani dan Bank Islam yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Tuan Mohd Muazzam Mohamed. Timbalan Menteri Kewangan YB Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir merangkap Pengerusi LPPSA turut sama hadir menyaksikan pemeteraian MOU ini. Kedua-dua tetamu kehormat ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan dan menganggap ia merupakan satu inisiatif positif yang melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memastikan setiap kakitangan sektor awam memiliki rumah kediaman.​

Dato’ Kamal turut menyatakan LPPSA sentiasa membuka peluang kerjasama dengan institusi kewangan atau institusi pembiaya lain bagi memudahkan dan membantu kakitangan sektor awam mendapatkan kemudahan kredit atau pembiayaan untuk membeli kediaman idaman di lokasi strategik.​​

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, En Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Menerusi kerjasama Bank Islam dengan LPPSA, kami amat berbesar hati untuk menyediakan kemudahan yang membolehkan penjawat awam berkelayakan, bersama pasangan atau anak mereka yang bukan penjawat awam, untuk memiliki rumah idaman masing-masing. Usaha ini juga membenarkan kami menyediakan perkhidmatan perbankan yang lebih bersifat inklusif kepada golongan yang sebelum ini tidak mendapat liputan kemudahan yang diperlukan. Pembiayaan yang disediakan ini juga adalah selari dengan visi Bank Islam sebagai sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua.”​

“Pada masa kini, memiliki rumah impian bukanlah satu perkara yang mudah. Perkara yang selalu menjadi kekangan adalah ‘kemampuan’ atau ‘lokasi sesebuah rumah yang terlalu jauh’. Perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum membeli rumah adalah melakukan perancangan bajet yang sesuai. Memandangkan ia merupakan komitmen jangka panjang, maka keupayaan untuk membayar balik ansuran haruslah menjadi keutamaan kepada seseorang pembeli. Atas dasar itulah, kami bekerjasama dengan LPPSA menawarkan bantuan pembiayaan kepada kakitangan sektor awam. Kami sentiasa komited untuk menyediakan platform perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses untuk pelanggan kami. Ini bukan sahaja merupakan sebahagian daripada mandat tetapi juga usaha berterusan pihak BSN untuk memastikan rangkuman kewangan diperkukuhkan di kalangan rakyat Malaysia,” kata YBhg. Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.​

 

- END -


Press Release