Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

JACK LIM DUTA BANK SIMPANAN NASIONAL


Inisiatif BSN untuk mendekati pelbagai komuniti dan menjadi bank kepada semua masyarakat


Kuala Lumpur, 29 Jun 2012 
– Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini secara rasminya telah mengumumkan pelantikan Jack Lim atau nama sebenarnya Lam Tak Wing sebagai duta bagi bank tersebut. Pengacara dan pelakon terkenal ini akan menjadi duta BSN bagi tempoh setahun bermula pada hari ini. Jack Lim yang juga merupakan pengacara breakfast show di MYFM 101.8FM amat berbesar hati atas kepercayaan BSN melantik beliau sebagai dutanya.

Jack Lim yang memulakan kariernya sebagai pengacara radio telah mengembangkan bakatnya pada tahun 2008 melalui filem box office ‘Ah Long Pte Ltd’, di mana beliau berlakon bersama pelakon-pelakon dari Singapura, Mark Lee dan Fann Wong. Beliau juga amat dikenali di kalangan masyarakat Cina dengan gelaran ‘Ah Beng’ ketika memainkan peranan sebagai Ah Beng dalam filem box office Tiger Woo Hoo di mana penjualan tiket telah mencecah RM 4.1 juta. Satu demi satu kejayaan diraih oleh Jack  Lim sehingga beliau akhirnya dipilih khas oleh ASTRO untuk menghasilkan ‘sitcom’ yang diberi nama Ah Beng.

Menurut Frederick Siew, Ketua Kewangan BSN, “Pemilihan Jack Lim sebagai duta BSN adalah seiring dengan langkah BSN untuk mendekati semua golongan masyarakat. Sebelum ini BSN sudah bekerjasama dengan Jack Lim untuk beberapa siri jelajah bagi produk Sijil Simpanan Premium Edisi Khas di beberapa Kampung Baru Cina di mana ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. BSN berharap dengan pelantikkan ini Jack Lim dapat menggalakkan orang ramai untuk menyimpan serta menjadi pelanggan setia BSN.”

Jack Lim berkata, “Saya berasa bangga apabila dipilih sebagai duta BSN. Sememangnya saya merupakan salah seorang pelanggan setia BSN di mana sejak dahulu lagi saya sudah mula menyimpan dengan BSN. Bagi saya BSN telah banyak berubah dan terdapat pelbagai perkhidmatan serta produk yang dapat dimanfaatkan oleh pelanggan-pelanggan BSN. Inilah peluang terbaik buat saya untuk memberitahu masyarakat mengenai BSN.”

Sebagai duta BSN, Jack Lim akan terlibat di dalam beberapa aktiviti pengiklanan untuk produk serta perkhidmatan BSN seperti Perbankan Tanpa Cawangan, Pinjaman Perumahan, Kad Kredit dan Sijil Simpanan Premium. Beliau juga akan mengikuti beberapa siri jelajah BSN di beberapa negeri bagi mempromosikan BSN. Maklumat mengenai program bersama Jack Lim akan disiarkan di laman web bsn iaitu www.mybsn.com.my .

- TAMAT -


Siaran Media