Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

BANK SIMPANAN NASIONAL JALIN KERJASAMA DENGAN FELDA

Perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar BSN di Rancangan FELDA di  seluruh Negara

Dari kiri Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, Pengerusi Felda, Tan Sri Datuk Seri
Utama Haji Mohd Isa Bin Dato’ Haji Abdul Samad, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Bin Haji Abdullah,
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning

Bentong, Pahang 24 Mac 2013 – Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menjalin kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkenalkan Perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EBB) BSN di tanah Rancangan FELDA di seluruh negara. Majlis ini telah disaksikan oleh Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Bin Haji Abdullah dan juga Pengerusi FELDA, Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Mohd Isa Bin Dato’ Haji Abdul Samad. Hadir sama pada majlis ini adalah Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad.

Perkhidmatan EBB BSN ini akan membolehkan warga peneroka FELDA untuk melakukan transaksi perbankan asas tanpa perlu pergi ke Bank. Perkhidmatan EBB BSN akan beroperasi dengan melantik peneroka FELDA yang memiliki premis perniagaan. Ia juga bakal dilaksanakan di premis perniagaan milik Felda Trading Sdn Bhd yang dikenali sebagai D’ Mart. Perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar BSN ini juga diharap dapat membantu warga peneroka yang mempunyai premis perniagaan untuk menjana pendapatan sampingan.

Sejak dilancarkan pada Jan 2012 perkhidmatan ini telah merekodkan sebanyak 4,554,913 bilangan transaksi dengan nilai lebih RM404,858,393 juta (sehingga 19 Mac 2013). Transaksi perbankan terpilih iaitu pengeluaran, deposit, pembayaran bil, pembelian Sijil Simpanan Premium (eSSP) dan pembayaran tanpa tunai boleh dilakukan di mana-mana premis ejen yang berdaftar. Sehingga kini BSN telah mempunyai 3,593 orang Ejen Bank Berdaftar di seluruh Malaysia dan BSN yakin akan mempunyai 5,000 orang ejen berdaftar pada tahun 2015 dengan pelbagai transaksi yang boleh dilaksanakan.

- TAMAT -


Siaran Media