Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN RASMI MESIN DEPOSIT SYILING ATAS TALIAN PERTAMA

Beri Manfaat Kepada Lebih 8 Juta Pelanggan

 

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2013 – Setelah lebih empat dekad melaksanakan mandat kerajaan sebagai sebuah bank simpanan, kini Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali lagi menjadi pelopor dalam penyediaan perkhidmatan perbankan yang mudah untuk keselesaan pelanggannya. BSN kini adalah bank pertama yang menyediakan mesin deposit syiling atau Coin Deposit Machine (CoDM) secara atas talian (online) di Malaysia.

Penggunaan CoDM merupakan satu inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memenuhi kehendak pelanggan yang menyimpan atau mendeposit duit syilling mereka tanpa perlu berurusan melalui kaunter di cawangan bank.

Bercakap di majlis perasmian mesin CoDM online pertama di Cawangan Perbankan Islam BSN, Danau Kota kelmarin, Timbalan Ketua Eksekutif (Perbankan Runcit), Encik Winston E. Jeyaprakash berkata inisiatif ini merupakan satu kemudahan yang BSN ingin ketengahkan kerana selaku sebuah bank komuniti, kesenangan dan keselesaan pelanggan adalah keutamaan pihak bank.

Antara kelebihan CoDM ialah ianya menggunakan sistem online dimana duit syiling yang dideposit akan terus dikreditkan ke dalam akaun pelanggan BSN. Dijangkakan kemudahan CoDM ini akan memberi manfaat kepada lebih 8 juta pelanggan BSN.

“Selepas ini, anak-anak atau masyarakat yang suka menabung boleh mendeposit duit syiling mereka melalui CoDM yang akan ditempatkan di cawangan-cawangan BSN terpilih di seluruh Malaysia,” tambahnya lagi.

Pemasangan CoDM akan dilaksanakan secara berperingkat dimana untuk fasa pertama pemasangan, BSN telah mengenalpasti lapan Cawangan Utama Negeri yang akan dilengkapi dengan kemudahan CoDM. Bagi fasa kedua pula, sebanyak tujuh buah CoDM akan dipasang di Cawangan BSN terpilih di seluruh Malaysia.  BSN menyasarkan pemasangan kesemua 15 buah CoDM dijangka selesai pada Januari 2014. 

- END -


Press Release