Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

BSN RASMI CAWANGAN BARU DI SABAH

Masyarakat Balung Nikmati Perkhidmatan Perbankan Islam

 

Balung, 9 September 2013 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah merasmikan cawangan barunya di Balung, Sabah dan ia merupakan Cawangan Perbankan Islam (CPI) BSN yang ke- 3 di buka di negeri itu.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Y.B  Datuk Seri Panglima Haji Tawfiq bin Datuk Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah merangkap Adun N.56 Apas, diiringi Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat) BSN, Encik Ahmad Latfan bin Mohd Amran dan Y.B Datuk Syed Abas bin Syed Ali Pengerusi Warisan Harta Negeri Sabah merangkap Adun N. 55 Balung.

Berucap di majlis tersebut, Timbalan Ketua Eksekutif BSN berkata bahawa pembukaan cawangan baru ini merupakan komitmen berterusan BSN sebagai sebuah Bank Komuniti, untuk menyediakan akses serta kemudahan perbankan kepada kawasan yang tidak mempunyai akses tersebut.

“Perbankan BSN sekarang telah bertambah luas dan berjaya menyediakan khidmat perbankan yang lebih komprehensif serta menawarkan produk kewangan yang pelbagai, termasuk produk yang patuh Shariah,” tambahnya lagi

Pembukaan cawangan ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen BSN untuk memperluas dan mempertingkatkan perkhidmatan perbankan untuk komuniti setempat.  Pada masa yang sama BSN ingin memberi fasiliti kewangan untuk memudahkan agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang berdekatan untuk melakukan urusniaga kewangan, lantas menjana perkembangan ekonomi kawasan Balung.

Cawangan yang terletak di Taman Balung Sawit, Tawau ini bakal memberi manfaat kepada hampir 30,000 penduduk setempat  dengan menawarkan kemudahan seperti mesin ATM, mesin deposit wang (CDM), simpanan, pembelian Simpanan Sijil Premium, kredit kad dan lain-lain. BSN juga telah memperuntukkan lebih kurang RM 450,000 untuk pembukaan cawangan ini yang merangkumi kos pengubahsuaian dan kos penyediaan peralatan komputer termasuk mesin ATM. Cawangan baru ini merupakan cawangan BSN yang ke 30 dan CPI yang ke 3 di negeri Sabah.

Pada hari yang sama, BSN Sabah turut menjayakan Hari Bersama Pelanggan BSN Sabah dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik khas untuk pelanggan-pelanggan BSN di Sabah. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti pameran kereta, promosi produk BSN, aktiviti mewarna dan cabutan bertuah. 

- END -


Press Release