Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

CABUTAN SSP BULAN OKTOBER

BSN Gegar Setia City Mall

 

Setia Alam, 26 Oktober 2013 -  Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menganjurkan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan Oktober 2013 di Setia City Mall, Setia Alam, Selangor.

Pemegang SSP yang bertuah untuk bulan ini bakal menjadi pemilik hadiah utamanya iaitu sebuah kereta BMW 320i manakala pemegang SSP Selangor pula bakal menjadi pemenang hadiah utama Cabutan Tempatan iaitu sebuah Perodua Viva.

SSP ini merupakan produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Sebanyak lebih 44,000 hadiah disediakan untuk sepanjang tahun 2013 berbanding lebih 37,000 hadiah yang ditawarkan pada tahun 2012. BSN masih lagi menawarkan kereta-kereta mewah seperti BMW 520i F10,  BMW 320i, Toyota Camry 2.0E, Proton Inspira, Perodua Myvi dan yang terbaru sebuah Proton Preve. Hadiah-hadiah lain yang ditawarkan adalah motorsikal Modenas GT 128, Apple iPhone, 150 unit SSP bernilai RM150 setiap satu, baucar barang kemas dan pelbagai lagi hadiah yang menarik untuk penyimpan SSP yang bertuah.

Selain itu, BSN turut menjalankan kempen “Beli SSP Edisi Khas - Percuma Keahlian AAM” dimana pemegang SSP Edisi Khas dengan simpanan RM 3,000 ke atas layak untuk menerima keahlian AAM secara percuma selama setahun manakala bagi pemegang SSP dengan simpanan sebanyak RM 50 ke atas boleh menjadi ahli AAM dengan yuran RM 25 untuk 12 bulan pertama. Kempen ini terbuka kepada pelanggan baru dan sedia ada dan akan dijalankan selama 12 bulan bermula pada bulan September 2013 hingga bulan Ogos 2014.

BSN turut memperkenalkan satu kategori cabutan khas iaitu Cabutan Istimewa yang menawarkan SSP bernilai RM1,000,000 untuk pemegang SSP yang bertuah. Cabutan Istimewa ini akan dibuat pada bulan Disember di satu majlis cabutan perdana nanti. Hadiah tersebut hanya layak bagi pemegang SSP yang mempunyai jumlah simpanan minimum sebanyak RM3,000 dan tidak ditebus sehingga hari cabutan dilakukan.

Cabutan bulanan SSP ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BSN di dalam memainkan peranannya untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat Malaysia. Majlis Cabutan ini merupakan aktiviti bulanan BSN di mana orang ramai berpeluang untuk menyaksikan bagaimana keputusan untuk pemilihan pemenang bagi Cabutan SSP dijalankan. Pelbagai aktiviti menarik juga telah diatur bagi meraikan kedatangan para pengunjung.

Sementara itu, pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN, Perbankan Internet dan melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih. Para pelanggan juga boleh membuat pembelian SSP di Ejen Bank Berdaftar (EBB)  BSN di seluruh negara.  

Keputusan SSP ini akan dimasukkan ke dalam laman web BSN http://www.mybsn.com.my selepas proses pemilihan pemenang dibuat di hadapan wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Audit Negara.

Orang ramai juga boleh menyemak akhbar-akhbar harian utama untuk mendapatkan keputusan SSP.

- END -


Press Release