Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

BSN TEMUI JUTAWAN PERTAMA SSP

Umum kondominium mewah sebagai hadiah istimewa tahun 2014 

 

Kuala Lumpur, 28 Disember 2013 -  Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menganjurkan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) 1 Juta di Tropicana City Mall, Damansara.

Kali ini BSN menyediakan tiga kategori cabutan iaitu Kategori Cabutan Bulanan, Cabutan Tempatan dan Cabutan 1 Juta dimana penyimpan SSP mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton Preve 1.6 yang terbuka untuk semua penyimpan SSP, sebuah kereta Viva untuk penyimpan yang telah membeli SSP di Kuala Lumpur dan RM 1 juta untuk pemegang SSP yang mempunyai simpanan SSP minimum RM 3,000 sehingga tarikh cabutan bulan Disember 2013.

SSP merupakan produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Pembelian SSP boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN, Perbankan Internet dan melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih. Para pelanggan juga boleh membuat pembelian SSP di Ejen Bank Berdaftar (EBB)  BSN di seluruh negara. 

Keputusan SSP ini akan dimasukkan ke dalam laman web BSN selepas proses pemilihan pemenang yang dibuat di hadapan wakil-wakil Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Audit Negara. Orang ramai juga boleh menyemak akhbar-akhbar harian utama untuk mendapatkan keputusan SSP terkini

 

Hadiah Istimewa Kondominium Mewah

BSN hari ini turut mengumumkan sebuah kondominium mewah bernilai RM 1.3 juta sebagai salah satu hadiah istimewa yang bakal menjadi milik penyimpan SSP tahun hadapan. Bagi tahun 2014, BSN menawarkan lebih 60,000 hadiah dengan jumlah nilai keseluruhan sebanyak RM 18 juta.

 

Bercakap di sidang media, Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN berkata bahawa kondominium mewah yang ditawarkan sebagai hadiah untuk cabutan SSP tahun hadapan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BSN untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat.

”Sebagai sebuah bank komuniti, kami sedia maklum akan kepentingan aset hartanah terutamanya untuk golongan muda. Dengan pembelian SSP, masyarakat bukan sahaja mendapat keuntungan dari segi dividen yang diberikan, malah turut mendapat aset yang cukup berharga,” kata Adinan.

Hadiah-hadiah lain yang ditawarkan untuk tahun hadapan adalah kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes; pakej pelancongan ke Korea dan pelayaran eksklusif; hadiah berupa gajet seperti Iphone, Samsung Galaxy dan Blackberry; baucer barang kemas, barangan elektronik dan SSP. 

- END -


Press Release