Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

PEMENANG SGSP 2013 TERIMA HADIAH BERNILAI RM 252,000

BSN Teruskan Misi Jadikan Tabiat Menyimpan Sebagai Cara Hidup Generasi Muda

 

Seri Kembangan, 24 Mac 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) untuk  peringkat kebangsaan tahun 2013. Majlis yang berlangsung di hotel Palace of The Golden Horses itu telah disempurnakan oleh Dato’ Hj Sufaat Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia yang mewakili Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia. Turut hadir,  Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pengerusi BSN dan Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN.  

SGSP adalah satu skim pertandingan simpanan secara tahunan yang penyertaannya dibuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Skim ini juga merupakan usaha BSN untuk memupuk tabiat menabung dan berjimat-cermat di kalangan anak muda dan ianya sejajar dengan misi BSN untuk menjadikan tabiat menyimpan itu sebagai satu cara hidup.  

Bercakap di majlis tersebut, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pengerusi BSN berkata bahawa penyertaan SGSP sejak  tahun ianya ditubuhkan sehingga 31 Disember 2013, SGSP telah mencatatkan penyertaan lebih 567,000 pelajar dan lebih 5,600 buah sekolah dengan simpanan mencecah lebih RM376 juta. 

“Pencapaian Ini menjadi bukti akan kejayaan SGSP dalam sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan di kalangan pelajar,” tambah Abu Bakar Abdullah.

Pada hari ini, BSN telah menyampaikan hadiah SGSP kepada 28 pemenang yang merangkumi pemenang individu dan sekolah. Hadiah SGSP yang ditawarkan untuk tahun 2013 adalah sebanyak 129 hadiah dengan memperuntukkan wang tunai sebanyak RM 252,000. Hadiah tersebut dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kategori Individu, Kategori Sekolah dan Kategori Tabungan Berhemah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Hj Sufaat Tumin turut berkata bahawa BSN telah berjaya menjalankan peranannya untuk terus menggalakkan generasi muda berjimat cermat dan belajar menguruskan kewangan mereka secara efektif.

“Selain daripada menjalankan mandat yang telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada BSN, komitmen mereka untuk memupuk tabiat menyimpan ini dapat di lihat melalui tawaran hadiah yang lumayan dan menarik, yang telah diberikan kepada individu serta sekolah yang bertanding,” tambahnya lagi.

Selain SGSP, BSN turut mempromosikan tabiat menyimpan melalui inisiatif Kelab Penabung Muda (KPM).

 

Kelab Penabung Muda

KPM merupakan kelab simpanan untuk kanak-kanak seawal umur tujuh sehingga 18 tahun. Untuk layak mendaftar sebagai ahli KPM, pelajar perlu membuka akaun dengan simpanan minimum sebanyak RM150.00 di mana wang tersebut akan dibekukan untuk menikmati pelbagai kemudahan dan kelebihan. Sehingga 31 Disember 2013 Kelab Penabung Muda mencatat bilangan keahlian sebanyak lebih 150,000.

Di antara kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk ahli KPM adalah aktiviti perkhemahan, kursus kepimpinan dan motivasi, klinik sukan, seminar pendidikan dan lain-lain. Setiap ahli kelab juga diberi perlindungan insuran kemalangan berkelompok 24 jam termasuk belanja pengurusan pengebumian sebanyak RM3 ribu. Ahli-ahli KPM menikmati kadar faedah tahunan sebanyak 1.2 % untuk baki minimum bulanan di antara RM150 hingga RM25 ribu manakala untuk 1.7% akan diberikan kepada ahli yang mempunyai baki minimum bulanan di antara RM25,001  hingga RM 1 juta. 

- END -


Press Release