Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

AKSES PEMBAYARAN CUKAI MPK DI LEBIH 5,000 EBB BSN

Kemudahan EBB terus menerus memberi kemudahan kepada masyarakat

 

KUANTAN, 24 September 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN), hari ini memeterai kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebagai rakan saluran terus untuk perkhidmatan pembayaran bil-bil khususnya pembayaran cukai taksiran dan kompaun MPK di lokasi-lokasi yang menawarkan kemudahan rangkaian Ejen Bank Berdaftar (EBB) BSN di seluruh negara.

Kerjasama ini akan menyaksikan perkhidmatan pembayaran hasil-hasil MPK dilaksanakan di kesemua 5,234 premis EBB BSN di seluruh negara (sehingga 18 September 2014).  Ini membolehkan orang ramai untuk membuat pembayaran cukai dan kompaun MPK dengan lebih mudah melalui perkhidmatan EBB BSN.

Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan hari ini telah dijalankan di Stesen Petronas Permatang Badak, Kuantan dan ditandatangani oleh Dato’ Haji Zulkifli Haji Yaakob, Yang Dipertua MPK bersama Dato’ Mearia Hamzah, Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN dan disaksikan oleh Encik Badli Hamsan, Pengarah Negeri BSN Pahang bersama-sama Dato’ Wan Solihi Wan Hassan, Ahli Majlis MPK.

Bercakap di majlis tersebut, Dato’ Mearia berkata: “Sejak ia ditubuhkan dari Januari 2012 sehingga 18 September 2014, BSN melalui 5,234 EBB-nya telah mencatatkan bilangan transaksi melebihi 25.0 juta urusan dan nilai transaksi melebihi RM2.10 bilion.”

"Kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran bil-bil MPK khususnya untuk penduduk di Kuantan. BSN sebagai sebuah Bank sentiasa berusaha untuk memberi nilai tambah kepada komuniti tempatan dan berharap kerjasama ini akan memberi lebih manfaat kepada semua pihak terutama sekali kepada penduduk yang berada di kawasan luar bandar, "katanya lagi.

Urusniaga pembayaran bil-bil MPK telah mula ditawarkan pada 11 September 2014 yang lalu dan ianya dilaksanakan menerusi terminal Point-of-Sale (POS) yang membenarkan transaksi digital dilakukan sepenuhnya dan pada masa yang sama menghapuskan keperluan untuk simpanan fizikal. Urusniaga yang dilakukan melalui saluran ini adalah selamat dan ianya tidak melibatkan sebarang kos tambahan di samping memberikan pelanggan ketenangan fikiran, sepertimana pelanggan MPK menjalankan pembayaran melalui cawangan – cawangan MPK yang sah.

Dato’ Haji Zulkifli Haji Yaakob turut berkata: “Pembayaran hasil MPK melalui ejen BSN ini merupakan inisiatif bagi memantapkan lagi sistem perkhidmatan kepada pelanggan MPK yang terdiri daripada penduduk setempat, komuniti, pelancong, dan sebagainya. Orang ramai boleh membuat bayaran cukai taksiran am dan kompaun di ejen-ejen sah BSN. Kini, orang ramai boleh terus ke EBB BSN untuk membuat bayaran dengan membawa bil cukai taksiran am MPK atau kompaun letak kereta”.

Perkhidmatan EBB BSN ini juga merupakan satu inovasi BSN yang bukan sahaja mudah dan cepat, malah ianya juga mesra alam sekitar. Ini kerana EBB BSN bertindak seperti sebuah cawangan bank kecil yang beroperasi di premis-premis perniagaan dengan menggunakan mesin POS BSN. Mesin POS ini hanya akan mencetak resit yang kecil untuk rekod simpanan pelanggan dan ianya tidak menggunakan kuasa elektrik. Pada masa yang sama, perkhidmatan ini juga membantu mendekatkan perkhidmatan kewangan penduduk setempat sekaligus mengurangkan kesan karbon hasil daripada perjalanan jauh.

 

 

- END -


Press Release