Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN LAKSANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL BANTU SEKOLAH TINGKAT DANA

78 Buah Sekolah Terlibat Karnival Sekolah BSN

 

18 Oktober 2014, Selangor - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini merasmikan program  Karnival Sekolah BSN 2014 di Sekolah Jenis Kebangsaan Taman Seri Gombak , Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Negeri Bank Simpanan Nasional Cawangan Kuala Lumpur, Pn. Noraini Hj. Mohd Johan.

Karnival Sekolah BSN 2014 yang berlangsung selama sehari ini merupakan inisiatif BSN untuk membantu pihak sekolah meningkatkan dana sekolah melalui jualan amal dan aktiviti yang dijalankan. BSN akan turut menaja RM 10,000 untuk setiap sekolah yang terpilih dari seluruh negara.

Bercakap di majlis perasmian tersebut, Noraini Hj. Mohd Johan berkata bahawa tajaan RM10,000 yang diberikan kepada setiap sekolah terpilih itu adalah untuk pihak sekolah menjalankan karnival dan juga untuk Pertandingan Bakat dan Mewarna yang turut diadakan pada hari tersebut.

“BSN akan menaja RM 5,000 untuk pihak sekolah melaksanakan karnival tersebut dan RM 5,000 lagi sebagai hadiah wang tunai pertandingan bakat dan mewarna. Hadiah wang tunai untuk pertandingan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun BSN pemenang,” kata Noraini.

Pertandingan bakat dan mewarna ini terbuka kepada semua pelajar SK Taman Seri Gombak dan sekolah serta masyarakat berdekatan.

Selain itu, inisiatif tanggungjawab sosial BSN ini juga dilaksanakan untuk memperkasa tabiat menyimpan di kalangan pelajar sekolah melalui kelab penyimpan BSN, Kelab Penabung Muda (KPM) dan pertandingan simpanan pelajar BSN iaitu Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP).

“Kami di BSN sentiasa memberi penekanan untuk mendidik anak-anak memahami kepentingan menyimpan dan berjimat-cermat. KPM dan SGSP adalah platform terbaik untuk anak-anak ini menyimpan wang kerana ia bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk dividen, malah mempunyai keistimewaan seperti insurans dan hadiah pertandingan yang lumayan,” tambahnya lagi.

Karnival Sekolah BSN 2014 ini akan berlangsung sehingga 30 November 2014.  Sebanyak 78 buah yang terpilih untuk karnival ini dan setiap sekolah telah mendapat kelulusan penuh dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Kanival ini akan melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

 

KPM dan SGSP

SGSP adalah satu pertandingan simpanan khusus untuk pelajar sekolah di Malaysia. Bagi tahun 2013, BSN telah melakukan beberapa penambahbaikan diantaranya ialah menambah jumlah keseluruhan hadiah wang tunai kepada RM 252 ribu dan turut menambah bilangan hadiah dari 84 kepada 129 hadiah. Tahun 2013 mencatatkan jumlah simpanan  lebih  RM 376 juta iaitu peningkatan sebanyak 58% dari tahun sebelumnya. Pada tahun yang sama, penyertaan pelajar telah meningkat sebanyak 52% iaitu penyertaan lebih 567,000 orang manakala penyertaan sekolah pula adalah lebih 5,600 dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 14% berbanding 2012.

KPM pula  merupakan kelab simpanan untuk kanak-kanak seawal umur 7 sehingga 21 tahun. Untuk layak mendaftar sebagai ahli KPM, pelajar perlu membuka akaun dengan simpanan minimum sebanyak RM150.00 di mana wang tersebut akan dibekukan untuk menikmati pelbagai kemudahan dan kelebihan. Sehingga 31 Disember 2013 Kelab Penabung Muda mencatat bilangan keahlian sebanyak lebih 150,000.

Di antara kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk ahli KPM adalah aktiviti perkhemahan, kursus kepimpinan dan motivasi, klinik sukan, seminar pendidikan dan lain-lain. Setiap ahli kelab juga diberi perlindungan insuran kemalangan berkelompok 24 jam termasuk belanja pengurusan pengebumian sebanyak RM3 ribu. Ahli-ahli KPM menikmati kadar faedah tahunan sebanyak 1.2 % untuk baki minimum bulanan di antara RM150 hingga RM25 ribu manakala untuk 1.7% akan diberikan kepada ahli yang mempunyai baki minimum bulanan di antara RM25,001  hingga RM 1 juta.

 

 

- END -


Press Release