Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

BSN RASMI CAWANGAN AMPANGAN

Kembali Beroperasi Dengan Kemudahan yang Lebih Lengkap dan Terbaru

 

Negeri Sembilan, 21 November 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah merasmikan pengoperasian semula cawangannya di Ampangan, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg  Datuk Adinan Maning, Ketua Eksekutif BSN, diiringi Encik Azlan Abu Bakar, Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Pengurusan Saluran BSN dan Encik Azman Abd Aziz, Pengarah Negeri BSN Negeri Sembilan.

Y.Bhg Datuk Adinan berkata bahawa pengoperasian semula CPI ini merupakan komitmen berterusan BSN sebagai sebuah Bank Komuniti untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang komprehensif untuk pelanggan-pelanggannya. Pengoperasian cawangan ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen BSN untuk memperluas dan mempertingkatkan perkhidmatan perbankan untuk komuniti setempat.  Pada masa yang sama BSN ingin memberi fasiliti kewangan untuk memudahkan agensi-agensi Kerajaan dan Swasta yang berdekatan untuk melakukan urusniaga kewangan, lantas menjana perkembangan ekonomi kawasan Ampangan.

“Kewujudan BSN yang bakal mencecah 40 tahun pada akhir tahun ini menyaksikan BSN kini berdiri seiring dengan institusi-institusi kewangan yang lain di Malaysia. BSN menyediakan produk-produk yang pelbagai dan menarik, termasuk produk patuh Shariah seiring dengan keperluan masyarakat pada hari ini,” tambahnya lagi

Cawangan yang terletak di Ampangan, Seremban ini kembali memberi manfaat kepada penduduk sekitar  dengan menawarkan kemudahan dua kaunter, dua mesin ATM, mesin deposit wang (CDM), simpanan, pembelian Simpanan Sijil Premium, kredit kad dan lain-lain. Cawangan ini merupakan cawangan BSN yang ke 401 di seluruh Malaysia, yang ke 18 di Negeri Sembilan dan merupakan CPI yang ke 4 di Negeri Sembilan.

 

- END -


Press Release