Thursday, 14 November 2019,   16 Rabiulawal 1441H

 

BSN RAI ANAK-ANAK YATIM

Majlis Berkhatan Amal Bersama 91 Kanak-Kanak

 

Bangi, 23 November 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengadakan Majlis Berkhatan bersama 65 anak-anak yatim dan kurang berkemampuan serta anak-anak kakitangan BSN dan Hospital Pakar An – Nur. Majlis berkhatan ini telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning di Pusat Pembelajaran Bank Simpanan Nasional, Bangi.

Bercakap di majlis tersebut, Datuk Adinan berkata bahawa BSN menyokong sepenuhnya aktiviti yang mendorong ke arah pembangunan sosial masyarakat. Kos perbelanjaan berkhatan bagi anak-anak yatim dan kurang berkemampuan yang terlibat pada hari ini dibiayai bersama oleh BSN dan juga sumbangan peribadi kakitangan BSN.

Tambahnya lagi, BSN bukan sahaja berperanan dalam menawarkan perkhidmatan kewangan kepada segenap lapis komuniti malah juga komited untuk membantu komuniti yang memerlukan. Tahun 2014 ini merupakan tahun yang ketiga berturut-turut bagi BSN untuk mengadakan Majlis berkhatan sebegini.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti menyuap pulut kuning dan bersiram. Kanak-kanak yang berumur 7 sehingga 12 tahun tahun ini telah diarak dari dewan ke kawasan padang dan kemudian disiram sebelum dikhatankan.

Bagi tahun 2014, kanak-kanak yang terlibat dalam majlis berkhatan bersama BSN ini adalah daripada SK Dato Abu Bakar Baginda, SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, SK Jalan 6  Bandar Baru Bangi, SK Jalan 4  Bandar Baru Bangi, SK Bangi (Bangi Lama), SK Leftenan Adnan, SK, Sg Ramal Dalam, Sek Rendah Agama Sg Ramal Dalam dan SK Sg Merab Luar dan turut disertai dengan anak-anak kakitangan BSN dan Hospital Pakar Pakar An-Nur. Majlis berkhatan yang melibatkan 91 orang kanak-kanak ini telah dikendalikan oleh kakitangan daripada Hospital Pakar An-Nur.

Pada tahun 2013, jumlah penglibatan kanak-kanak Program Majlis berkhatan ialah sebanyak 43 orang peserta iaitu anak-anak yatim dari Kompleks Darul Kifayah dan Rumah Bakti Ummi Atiqah. Manakala pada tahun 2012, jumlah penglibatan kanak-kanak Program Majlis Berkhatan adalah seramai 37 orang iaitu anak-anak yatim dari Rumah Bakti  Al-Kausar dan Rumah Anak Yatim Darul Izzah.

 

- END -


Press Release