Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

KEMUDAHAN PEMBUKAAN AKAUN DI EJEN BANK BERDAFTAR BSN

Akses Kemudahan Perbankan yang Semakin Meluas kepada Masyarakat

 

Samarahan, 13 Disember 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini meneruskan usahanya mendekati komuniti dengan memperkenalkan satu lagi perkhidmatan baru iaitu pembukaan akaun simpanan untuk produk Giro dan Giro-I. Perkhidmatan ini ditawarkan melalui lebih 5,200 rangkaian Ejen Bank Berdaftar (EB) di seluruh negara bermula Januari 2012 sehingga kini. Langkah ini adalah sejajar dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkukuhkan lagi agenda rangkuman kewangan di Malaysia dan memastikan segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama mendapat kemudahan kewangan yang berkualiti dari institusi kewangan.

Langkah inovatif ini bertujuan untuk mempermudahkan akses dan meningkatkan penggunaan perkhidmatan kewangan kepada segenap lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Perkhidmatan baru ini juga disediakan bagi menyokong saranan Kerajaan yang mengalakkan bakal penerima Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) 4.0 yang masih belum mempunyai akaun simpanan agar membuka akaun dan mengemaskini maklumat akaun dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selewat-lewatnya pada 31 Disember 2014. Ini bagi membolehkan bayaran BR1M dikreditkan secara terus  ke dalam akaun simpanan mereka.

Perkhidmatan pembukaan akaun simpanan kini ditawarkan di semua EB BSN menggunakan terminal Point-of-Sale (POS) yang berhubung terus kepada sistem BSN bagi membenarkan transaksi dilakukan dalam talian secara masa nyata sepenuhnya tanpa memerlukan borang permohonan. Untuk menikmati kemudahan ini pelanggan hanya perlu hadir di mana-mana premis EB yang berhampiran dengan membawa bersama MyKad bagi tujuan pengesahan biometrik dengan amaun simpanan permulaan serendah RM20. Proses pembukaan akaun ini adalah cepat, mudah dan selamat.

Merasmikan perkhidmatan baru EB BSN ini adalah YB Puan Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan juga Ahli Parlimen Batang Sadong Sarawak sambil diiringi oleh Datuk Yunos Abd Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Komuniti BSN dan Puan Marina Kahar, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterprise, BNM.

Bercakap di majlis perasmian, YB Puan Hajah Nancy berkata, “Rangkuman kewangan merupakan inisiatif perbankan yang amat penting untuk memastikan semua rakyat dapat menikmati akses kemudahan perbankan dan demi meningkatkan pembangunan sosial. Dengan adanya perkhidmatan pembukaan akaun di premis EB, saya percaya matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju akan dikecapi kerana dengan EB, sebanyak 95% mukim dari 847 telah mendapat akses perbankan melalui kemudahan ini”.

“Dengan penambahan perkhidmatan terbaru ini EB kini menawarkan 7 jenis perkhidmatan perbankan asas berbanding 5 jenis perkhidmatan di awal pelancarannya pada 27 Januari 2012. Di samping itu EB menawarkan perkhidmatan transaksi Simpanan dan Pengeluaran Tunai, Pembayaran Bil Utiliti, Simpanan SSP, Pembelian Tanpa Tunai dan Tambah Nilai Pra Bayar Telefon Bimbit. Sehingga 9 Disember 2014, 5233 EB BSN telah mencatatkan bilangan transaksi melebihi 30.33 juta urusan dan nilai transaksi melebihi RM2.48 billion”, kata Datuk Yunos.

Disamping perbankan ejen, BSN juga menawarkan produk Pembiayaan Mikro untuk membantu menbangunkan perusahaan mikro yang merupakan komponen majoriti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sebagai institusi peneraju Pembiayaan Mikro, BSN memiliki pegangan sebanyak 45% dan sentiasa komited untuk menawarkan bantuan bukan sahaja berbentuk permbiayaan malah khidmat nasihat, seperti latihan, dan bimbingan yang bersesuaian dengan mandat yang diberikan. Selepas hampir lapan tahun memperkenalkan produk Pembiayaan Mikro, BSN telah membantu seramai lebih 42,000 usahawan di seluruh negara.

Sempena perasmian perkhidmatan pembukaan akaun di EB BSN ini, BSN juga menganjurkan Program Kamboh BSN bersama Komuniti Kampung Semera. Program ini diadakan bertujuan untuk beramah-mesra bersama masyarakat dan pada masa yang sama, meuar-uarkan dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan EB dan produk Pembiayaan Mikro BSN. Pelbagai aktiviti turut diadakan di kawasan program ini untuk para penduduk sertai. Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan mewarna, pembukaan booth-booth yang pelbagai serta kaunter promosi BSN dan kaunter informasi dan khidmat nasihat BNM. BSN turut membuka kaunter online sepanjang program tersebut di mana orang ramai boleh menikmati kemudahan pembukaan akaun, pembelian SSP, pembayaran bil serta lain-lain.

 

 

- END -


Press Release