Friday, 15 November 2019,   17 Rabiulawal 1441H

 

JUARA BERTAKHTA SSP BSN TERJAWAB

Tahun 2015 Menjanjikan Hadiah Lebih Menarik

 

Kuala Lumpur, 27 Disember 2014 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menganjurkan Fiesta Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju. Kali ini BSN mengumumkan empat kategori cabutan untuk menutup tirai Fiesta SSP tahun 2014 iaitu Cabutan Bulanan, Cabutan Tempatan, Cabutan Kenang Budi dan yang paling utama, Cabutan Istimewa SSP RM1Juta.

Pemenang utama Cabutan Bulanan, Cabutan Tempatan dan Cabutan Kenang Budi SSP masing-masing memenangi sebuah kereta Mercedes Benz C200 yang terbuka untuk semua penyimpan SSP, sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Extreme untuk penyimpan yang telah menyimpan SSP di Kuala Lumpur dan SSP RM100,000 bagi penyimpan yang telah menyimpan lebih 25 tahun bersama SSP. Di fiesta kali ini juga, pencarian Juara Bertakhta SSP BSN telah terjawab di mana pemenang Cabutan Istimewa SSP RM1juta diumumkan di hadapan orang ramai.

Pada tahun 2014 ini, BSN telah menawarkan 34x cabutan berbanding 26x cabutan pada tahun 2013. 34x cabutan tersebut merangkumi 12x Cabutan Bulanan, 13x Cabutan Tempatan, 3x Cabutan Istimewa, 4x Cabutan Kenang Budi dan 2x Cabutan Khas Korporat untuk sepanjang tahun 2014 ini.  BSN menawarkan lebih 61,000 hadiah termasuk kereta mewah BMW dan Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah RM18 juta. Hadiah-hadiah lain yang turut ditawarkan untuk tahun ini adalah pakej pelancongan iaitu Kembara Korea dan Pelayaran Eksklusif, hadiah berupa gajet seperti iPhone, Samsung Galaxy dan Blackberry, baucar barang kemas, barangan elektronik dan SSP.

Kepelbagaian kategori cabutan dan  jenis hadiah merupakan komitmen BSN untuk menggalakkan orang ramai menyimpan bersama SSP kerana hanya dengan SSP sahaja mereka boleh mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Selain itu, inisiatif ini juga sejajar dengan misi BSN untuk menjadikan tabiat menyimpan sebagai satu cara hidup masyarakat pada masa kini.

Orang ramai boleh membuat simpanan SSP di mana-mana cawangan BSN, Mesin Teller Automatik (ATM) BSN, Mesin Deposit Tunai (CDM) BSN, Perbankan Internet (myBSN), Perbankan SMS dan melalui Ejen Bank Berdaftar (EBB)  BSN di seluruh negara.  Para pelanggan juga boleh membuat simpanan SSP di Unit Bank Bergerak (UBB) BSN di lokasi-lokasi terpilih. Dengan simpanan minimum RM10 sahaja, pelanggan boleh menyertai cabutan dan memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Turut hadir di Fiesta SSP Disember 2014 ini adalah penyimpan SSP bertuah yang berjaya menjadi pemilik kereta mewah BMW 320i, Encik Samsuar Bin Amiruddin, 56 tahun, iaitu pemenang hadiah utama bagi Cabutan SSP Bulan November.

Samsuar berkata kemenangan SSP ini merupakan hasil simpanannya sejak tahun 1994 lagi.

“Sememangnya saya berasa sangat gembira. Ini merupakan rezeki paling bermakna bagi saya dan keluarga. Produk SSP ini sangat menarik kerana selain dapat memupuk orang ramai untuk menyimpan, penyimpan juga berpeluang memenangi hadiah berulang kali pada setiap bulan selagi tidak ditebus” tambah Samsuar lagi.

SSP adalah produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan.

 

Tawaran SSP 2015

BSN hari ini turut mengumumkan pengekalan hadiah SSP RM1juta pada tahun 2015 sebagai hadiah terhebat dalam Cabutan Istimewa. BSN juga menambah satu lagi kategori Cabutan SSP dengan menjumlahkan sebanyak 4 kategori cabutan SSP pada tahun 2015 – Cabutan Bulanan, Tempatan, Istimewa dan yang terbaharu Mingguan.

Simpanan minimum untuk menyertai Cabutan Mingguan adalah RM10 dan ke atas. Cabutan ini diadakan dua (2) kali seminggu iaitu pada setiap hari Isnin dan Rabu (kecuali cuti umum). Keputusan akan dipaparkan di dalam lawan web BSN (myBSN) dan Facebook (FB) sehari selepas hari cabutan dilakukan. Pemenang atau wakil perlu menghubungi pihak BSN melalui Telefon/E-mel/FB untuk menuntut hadiah dalam tempoh tiga (3) hari bekerja bermula pada tarikh keputusan dikeluarkan di myBSN dan FB. Sekiranya BSN tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh tersebut, hadiah yang dimenangi akan dibatalkan dan pemenang atau wakil tidak layak membuat tuntutan ke hadiah tersebut.

Bagi tahun 2015, BSN menawarkan lebih 88,000 hadiah dengan jumlah nilai keseluruhan melebihi RM18 juta. Hadiah-hadiah yang ditawarkan dalam Cabutan SSP 2015 adalah kenderaan mewah BMW dan Mercedes, Perodua Axia dan SSP.

Bercakap di sidang media, En. Frederick Siew Kin Meng, Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Kewangan berkata bahawa BSN akan terus memastikan produk SSP bukan sahaja menawarkan hadiah yang menarik, malah akan sentiasa mempelbagaikan bentuk cabutan dari masa ke semasa.  Usaha BSN yang berterusan ini adalah untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat.

”BSN telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan masyarakat dan tahun ini merupakan ulangtahun BSN yang ke-40. BSN akan terus bersemangat dan komited untuk menawarkan pelbagai produk yang inovatif dan perkhidmatan yang berkualiti untuk menepati kehendak pelanggan” kata Frederick lagi.

 

- END -


Press Release