Friday, 22 November 2019,   24 Rabiulawal 1441H

 

KERETA MEWAH REZEKI TAHUN BARU

BSN Meneruskan Misi Mencari Pemenang Bulan Februari

 

 

Kuala Lumpur, 28 Februari 2015 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pemenang Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi Cabutan Bulanan dan13 pemenang Cabutan Tempatan SSP BSN bulan Februari 2015. Majlis cabutan telah diadakan di Wisma BSN Kuala Lumpur. Turut hadir di Majlis Cabutan tersebut adalah Datuk Yunos Abd Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif, Perbankan Runcit BSN.

Pemenang bagi Cabutan Bulan Februari tahun ini membawa pulang sebuah kereta mewah Mercedes-Benz E300 manakala pemenang-pemenang bagi Cabutan Tempatan pula akan memenangi kereta Perodua Axia.

Terdapat empat (4) jenis cabutan pada tahun ini iaitu Cabutan Istimewa, Bulanan, Tempatan dan Mingguan. Pembaharuan kepada jenis cabutan dan hadiah pada tahun ini merupakan komitmen BSN untuk menggalakkan orang ramai menyimpan bersama SSP. Ini kerana dengan menyimpan wang dengan SSP,  mereka boleh mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Selain itu, inisiatif ini juga sejajar dengan misi BSN untuk memupuk tabiat menyimpan sebagai suatu cara hidup masyarakat pada masa kini.

Orang ramai boleh membuat simpanan SSP di mana-mana cawangan BSN, Mesin Teller Automatik (ATM) BSN, Mesin Deposit Tunai (CDM) BSN, Perbankan Internet (myBSN), Perbankan SMS dan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN di seluruh negara.  Para pelanggan juga boleh membuat simpanan SSP di Unit Bank Bergerak (UBB) BSN di lokasi-lokasi terpilih. Dengan simpanan minimum RM10 sahaja, pelanggan boleh menyertai cabutan dan memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Selain daripada itu, orang ramai yang mempunyai simpanan minima RM5,300 bersama SSP adalah layak untuk membuat Pelan Sandaran SSP melalui Pembiayaan Peribadi atau Kad Kredit. Melalui pelan kemudahan sandaran ini juga pelanggan hanya perlu membuat bayaran balik pembiayaan dengan kadar yang minima berbanding pembiayaan lain yang ditawarkan.

 

Hadiah Kereta Sempena Tahun Baru

Turut hadir di majlis cabutan SSP Februari 2015 ini adalah pemenang Cabutan Bulanan bagi bulan Januari iaitu Encik Rozman Alias yang telah memenangi kereta mewah BMW 520i dan pemenang-pemenang Cabutan Tempatan SSP iaitu Encik Ee Khong Koy, pemenang daripada Kuala Lumpur dan Cik Aishah Nazirah Binti Mohd Salleh daripada Selangor.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada BSN kerana mengadakan cabutan SSP. Saya amat bersyukur dengan kemenangan tersebut dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dengan kemenangan ini. Saya akan terus menyimpan bersama SSP bagi menjamin masa hadapan saya dan anak-anak,” kata Encik Rozman, 53 tahun yang berasal daripada Ipoh, Perak.

Tambah Encik Rozman lagi, sekiranya penyimpan tahu akan kelebihan menyimpan dan kemudahan yang SSP tawarkan, pasti penyimpan akan merebut peluang untuk menyimpan dengan SSP BSN. Ini kerana,  SSP merupakan simpanan yang menguntungkan di samping memberi peluang yang besar kepada para penyimpan untuk memenangi pelbagai hadiah mewah yang disediakan.

Pemenang Cabutan Tempatan daripada Kuala Lumpur Encik Ee Khong Koy yang menetap di Melaka, juga menyatakan beliau telah menyimpan dengan SSP sejak tahun pertama ianya dijual dan akan terus menyimpan bersama SSP untuk cuba mendapatkan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh BSN pada masa akan datang.

Manakala Cik Aishah, pemenang berusia 15 tahun daripada Selangor pula turut menyuarakan kegembiraannya apabila beliau telah diumumkan sebagai salah seorang pemenang tempatan. Beliau telah memenangi sebuah kereta Perodua Axia.

SSP adalah produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Keputusan SSP adalah hasil daripada proses pemilihan pemenang yang dibuat di hadapan wakil-wakil Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Jabatan Audit Negara. Keputusan Cabutan SSP bagi bulan Februari  ini akan dimuat naik ke laman sesawang BSN pada hari pertama bekerja selepas majlis cabutan diadakan.

 

- END -


Press Release